fbpx
Mendiang Altantuya.

Altantuya: Kerajaan, Razak Baginda hanya perlu bayar RM1.38 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Kerajaan dan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda berjaya dalam rayuan untuk mengetepikan perintah bayaran RM5 juta kepada keluarga model Mongolia, mendiang Altantuya Shaariibuu di Mahkamah Rayuan, di sini hari ini.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Hashim Hamzah (kini Hakim Besar Malaya) memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan kedua-duanya selaku perayu selain hanya membenarkan jumlah ganti rugi itu dikurangkan kepada RM1.38 juta.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Azman Abdullah dan K. Muniandy.

Panel membuat keputusan itu hari ini menerusi apklikasi Zoom selepas mendengar penghujahan pihak-pihak pada 9 Oktober tahun lalu.

Panel selesai mendengar penghujahan Peguam Kanan Persekutuan, Nik Mohd. Noor Nik Kar yang mewakili kerajaan dan peguam-peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili keluarga Altantuya, manakala Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar dan Abraham Au mewakili Abdul Razak yang bertindak sebagai responden.

Kerajaan dan Abdul Razak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 16 Disember 2022 yang memerintahkan mereka membayar RM5 juta sebagai ganti rugi am dan teladan selepas membenarkan tuntutan saman keluarga itu terhadap empat pihak.

Selain kerajaan dan Abdul Razak, Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera (kini hakim Mahkamah Persekutuan) turut memerintahkan dua bekas anggota unit tindakan khas, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar membayar ganti rugi sama.

Hakim juga memberikan faedah lima peratus setahun ke atas jumlah penghakiman, dikira dari tarikh pemfailan tuntutan mahkamah sehingga penyelesaian penuh, dan memerintahkan keempat-empat defendan membayar kos RM25,000 setiap seorang.

Pada prosiding tersebut, Azilah dan Sirul bagaimanapun tidak mengemukakan rayuan.

Semasa hujahan dalam prosiding terdahulu, Nik Mohd. Noor menyatakan, hakim bicara terkhilaf kerana tidak membuat pembahagian tanggungan ketika memutuskan ganti rugi terhadap plaintif.

Hujah beliau, Azilah dan Sirul bukan dalam tugasan rasmi manakala tiada autoriti diberikan oleh kerajaan untuk membunuh Altantuya.

Berhubung kuantum, jumlah ganti rugi RM5 juta yang diberikan oleh hakim Mahkamah Tinggi terlalu tinggi dan pihaknya mencadangkan ganti rugi munasabah berjumlah RM1.38 juta diberikan kepada plaintif.

Katanya, hakim bicara tersalah arah dari segi undang-undang apabila gagal membezakan liabiliti peribadi setiap responden semasa memberikan ganti rugi secara global berjumlah RM5 juta.

Nik Mohd. Noor selanjutnya menghujahkan, tuntutan saman itu tidak memplidkan terhadap kehilangan harta, sebaliknya hanya menyentuh mengenai kehilangan tanggungan.

Katanya, keluarga model itu menyatakan, Altantuya meninggal dunia pada 2006 ketika berumur 28 tahun dengan pendapatan bulanan RM6,000.

Bagaimanapun, perayu menghujahkan, tiada keterangan dikemukakan bagi membuktikan model itu berpendapatan RM6,000 melainkan hanya bekerja sambilan dan menanggung kos perubatan anaknya.

Sementara itu, Gurdial berhujah tiada bukti langsung menunjukkan Abdul Razak telah mengarahkan Azilah dan Sirul Azhar untuk membunuh Altantuya.

Pada asalnya, saman itu difailkan bapa mendiang, Dr. Shaariibuu Setev; ibunya, Altantsetseg Sanjaa serta dua anak lelaki Altantuya, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, pada 4 Jun 2007.

Bagaimanapun, Altanshagai meninggal dunia pada 2017 dan dikeluarkan daripada senarai plaintif. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN