ALOR GAJAH – Seorang pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Pagoh, Johor cedera selepas disondol seekor babi hutan ketika menunggang motosikal di Padang Keladi, di sini, semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 19 tahun mengalami kecederaan serius di bahagian mulut, termasuk beberapa batang gigi patah serta gusi koyak.
Abang ipar mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ahra Abba berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari rumah keluarganya di Kampung Pulau, Durian Tunggal menuju ke kampus.
“Adik ipar saya disondol babi hutan malam tadi (semalam) di hadapan kawasan Go Kart Padang Keladi.
“Difahamkan kawasan itu memang sudah beberapa kali berlaku kemalangan kerana gelap dan tidak mempunyai lampu jalan,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang mengikuti pengajian dalam bidang mutawif kini menerima rawatan di Hospital Melaka dan masih trauma dengan kejadian tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar ketika dihubungi memaklumkan pihaknya masih belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian berkenaan. – KOSMO! ONLINE














