fbpx
AZEEM (kanan) menunjukkan reaksi bangga selepas meraih pingat gangsa acara 100m Sukan Asia Hangzhou dengan catatan masa 10.11s pada September 2023- AFP

Cuba kita raikan Azeem, Puripol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAJA pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi memulakan kalendar musim 2026 dengan langkah positif menghadapi tahun yang dianggap cukup getir dalam kariernya.

Begitupun, permulaan positif itu masih belum mampu ‘menambat’ hati sebahagian peminat terutamanya sukan olahraga tanah air yang sehingga kini masih merasakan dia jauh ketinggalan di belakang seterunya dari Thailand, Puripol Boonson. Rata-rata mereka berpendapat perkembangan ditunjukkan Azeem sejak berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) tidak begitu ‘menakjubkan’ berbanding Puripol yang sudah berjaya mengukir legasinya tersendiri.

Sebelum ini Lalu Muhammad Zohri terlebih dulu ‘meletup’ selepas bintang pecut Indonesia itu mencipta sensasi menjuarai Kejohanan Olahraga Remaja Dunia 2018 sebelum mencipta masa mengagumkan 10.03 saat (s) pada 2019.

Ramai beranggapan Lalu, 25, akan menjadi pelari Asia Tenggara pertama dengan catatan 100 meter (m) bawah 10s, namun meleset apabila dia masih tercari-cari rentak terbaik sejak ‘berperang’ dengan pelbagai siri kecederaan.

Industri pecut 100m Asia Tenggara kembali rancak dengan ‘kelahiran’ Azeem, 22, dan Puripol, 20, pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia 2022 yang menjadi pentas pertarungan pertama antara mereka. Biarpun Puripol meraih tempat keempat dan Azeem kelima pada final 100m, namun kejohanan berprestij dunia bawah 20 tahun di Cali, Colombia itu menjadi saksi kedua-duanya melakar masa 10.09s.

Azeem ‘disambar’ Universiti Auburn di Alabama, AS pada 2023, sementara Puripol ketika itu baru berusia 17 tahun dan masih bersekolah di Thailand. Puripol boleh dianggap jelmaan ‘Usain Bolt’ Asia Tenggara kerana bakatnya yang luar biasa apabila empat kali mengatasi masa 10.09s iaitu 10.06s (2023), 10.08s (2024), 10s (2025) dan 9.94s (2025). Atlet dengan gelaran Bew itu juga muncul pemenang dalam perlumbaan dengan Azeem untuk menjadi pelari Asia Tenggara pertama mencatat masa 100m bawah 10s.

Azeem pula masih berjuang memperbaiki rekod peribadi 10.09s itu dengan catatan terbaiknya dalam tiga tahun terakhir adalah 10.11s (2023), 10.36s (2024) dan 10.20s (2025).

Selain itu, Puripol juga sering menewaskan Azeem sama ada setiap kali berentap atau pencapaian individu di pentas berprestij seperti Sukan Asia dan Sukan Universiti Dunia.

Namun, ramai lupa kebanyakan pencapaian Azeem sejarah baharu kepada arena olahraga tanah air seperti menjadi pelari pertama Malaysia mara ke final 100m Sukan Universiti Dunia. Atlet dari Teluk Intan, Perak yang pernah mendapat SPM 6A itu juga memenangi pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022, menamatkan penantian 41 tahun Malaysia sejak Rabuan Pit menjuarai Sukan Asia 1982.

Kini, 2026 menjadi musim getir kerana ini tahun terakhir Azeem di Universiti Auburn serta Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland (23 Julai-2 Ogos) dan Sukan Asia di Aichi-Nagoya, Jepun pada 19 September hingga 4 Oktober.

Dua perlumbaannya tahun ini berakhir di podium dengan catatan konsisten 6.60s, menghampiri rekod kebangsaan 60m dalam dewan 6.56s yang diciptanya tahun lepas, membuktikan dia pada landasan tepat.

Tidak mustahil Azeem mampu perbaiki rekod 100m Malaysia tahun ini dan sesuatu cukup manis jika menewaskan Puripol di hadapan ribuan penyokong sendiri pada Sukan SEA Malaysia 2027.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN