LONDON – Dasar layanan sama rata yang diamalkan McLaren terhadap dua pelumbanya, Lando Norris dan Oscar Piastri sebelum ini mungkin sukar digunakan pada saingan Formula Satu (F1) musim 2026.
Bekas pelumba F1, Karun Chandhok menyuarakan kebimbangan sama ada pasukan itu mampu meneruskan polisi ‘adil’ mereka memandangkan perang pembangunan jentera dijangka berlaku dengan agresif susulan pengenalan peraturan baharu tahun ini.
Musim lalu, McLaren memegang prinsip untuk tidak membawa sebarang komponen naik taraf ke litar melainkan mereka mempunyai alat ganti yang mencukupi untuk kedua-dua jentera pelumbanya.
Bagaimanapun, Chandhok berpendapat situasi mungkin berubah pada 2026 apabila setiap pasukan berlumba-lumba untuk mendapatkan prestasi maksimum daripada jentera serba baharu itu secepat mungkin.
“Saya suka cara McLaren berlumba, ia bagus untuk sukan ini. Namun, kadar pembangunan pada tahun hadapan (2026) akan menjadi sangat tinggi.
“Mungkin akan timbul situasi, terutamanya pada awal musim di mana pasukan perlu segera memasang komponen baharu, tetapi hanya sempat menyiapkan satu set sahaja.
“Jika itu berlaku, apa yang akan terjadi? Ini akan menjadi cabaran besar buat mereka jika mahu kekal dengan polisi adil untuk kedua-dua pelumba dan bersaing di kelompok hadapan,” katanya.
Selain isu dalaman, McLaren turut berdepan cabaran teknikal daripada pembekal enjin mereka, Mercedes.
Chandhok menjangkakan pasukan pengeluar seperti Mercedes akan memiliki kelebihan dari segi pengenalan unit kuasa baharu berbanding pasukan pelanggan, sekali gus membuka peluang buat George Russell untuk kembali menjadi pencabar kejuaraan. – AGENSI














