fbpx
NOR HASMAL didakwa pecah amanah membabitkan pinjaman balik Mara berjumlah RM15,892 di Mahkamah Sesyen Muar hari ini.

Bekas pegawai Mara didakwa pecah amanah RM15,892

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MUAR – Seorang bekas pegawai Majlis Amanah Rakyat (Mara) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 25 pertuduhan pecah amanah membabitkan wang bayar balik pinjaman milik empat peminjam kepada agensi itu bernilai lebih RM15,000 sejak lima tahun lalu.

Tertuduh, Nor Hasmal Hazwani Mohd Kamal, 40, yang baru habis pantang mengaku tidak bersalah sebaik kesemua pertuduhan dikemukakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd Khairi Haron.

Mengikut kesemua pertuduhan, ibu kepada tiga anak didakwa melakukan pecah amanah ke atas wang berjumlah RM15,892 yang didepositkan oleh empat peminjam iaitu Muhammad Zakaria Rahmat, 41, Haslinda Hanapi, 46, Mohd Izar Md Zan, 45, dan Hamidah Mohd Zain, 55, ke dalam akaun milikinya bagi tujuan pembayaran balik pinjaman.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di Pejabat Mara daerah Tangkak antara 11 Mac 2021 hingga 2 November 2024.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda bagi setiap pertuduhan dikenakan terhadapnya.

Berdasarkan laporan dibuat, polis menerima maklumat daripada pegawai tertinggi agensi terbabit berhubung keraguan berkaitan pembayaran balik pinjaman peribadi dan perniagaan membabitkan empat skim di bawah agensi terbabit.

Siasatan polis mendapati, mangsa membayar pinjaman dengan memasukkan wang ke dalam akaun tertuduh kononnya bagi memudahkan peminjam yang mana mereka tidak lagi perlu ke kaunter untuk membayarnya.

Perkara itu terbongkar apabila tertuduh berpindah ke cawangan lain dan mangsa mendakwa menerima surat tunggakan pembayaran balik pinjaman daripada agensi itu.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi dan Nur Ameerah Allaudden manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM10,000 setiap pertuduhan selain syarat tambahan dikenakan terhadap tertuduh.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM22,000 bagi kesemua pertuduhan serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada Isnin pertama setiap bulan.

Kes disebut semula pada 8 April ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Dalam pada itu, tertuduh akan dihadapkan sekali lagi di mahkamah sama pada Rabu dan Khamis ini bagi mendengar baki 41 lagi pertuduhan berkaitan kesalahan terbabit.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI