fbpx
Kredit Facebook Sultan Ibrahim

Agaknya selepas ni, saya terpaksa lantik sarjan sajalah jadi PAT – Agong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, menzahirkan amaran keras terhadap golongan yang terlibat dengan amalan rasuah dalam negara.

Seri Paduka Baginda turut menyifatkan mereka sebagai pengkhianat negara yang mesti diperangi secara besar-besaran.

“Saya pernah sebut dahulu, yang saya datang ke Kuala Lumpur untuk memburu perasuah, dan nampaknya saya telah berjaya,” titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima, Parlimen Ke-15 di Parlimen di sini hari ini.

Sementara itu, Sultan Ibrahim turut menzahirkan kekecewaan terhadap gejala rasuah yang berlaku melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang melibatkan peringkat tertinggi.

“Saya amat kecewa apabila berlakunya kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sampai peringkat tertinggi.

“Agaknya selepas ni, saya terpaksa lantik sarjan sajalah jadi PAT (Panglima Angkatan Tentera),” titah baginda.

Seri Paduka turut mengingatkan bahawa pendedahan yang ada sekarang hanyalah ‘tip of an iceberg’ dan baginda percaya ramai lagi perasuah masih bersembunyi di pelbagai agensi penguatkuasaan.

“Saya yakin ada ramai lagi di luar sana, sama ada di Jabatan Kastam, Imigresen, Polis dan sebagainya, serta termasuk juga yang berada di dalam dewan ini, akan terus diburu sampai jumpa.

“Amalan rasuah mesti diperangi secara besar-besaran. Rakyat harus menjadi mata-mata dan melaporkan sebarang bentuk jenayah rasuah. Bukan sahaja penerima yang patut disiasat, tetapi pemberi rasuah dan ejen yang bersubahat juga mesti dikenakan tindakan,” titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim menitahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk bertindak dengan lebih pantas dan tegas tanpa mengira pangkat atau kedudukan seseorang individu.

Baginda turut mencadangkan agar pihak kerajaan menyediakan laluan khas di mahkamah serta hakim-hakim yang berpengalaman tinggi supaya kes-kes rasuah dapat diselesaikan dengan segera tanpa tertangguh.

“Bukan sahaja penerima yang patut disiasat, tetapi pemberi rasuah dan ejen yang bersubahat juga mesti dikenakan tindakan,” tegas baginda.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI