WASHINGTON – Gerhana matahari pertama bagi tahun 2026 diramal berlaku pada 17 Februari depan, menjadikannya peristiwa cakerawala unik dikenali sebagai gerhana matahari anulus atau sering dirujuk sebagai gerhana ‘cincin api’, lapor laman berita NDTV semalam.
Menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), fenomena itu berlaku apabila Bulan melintas di hadapan Matahari tetapi kelihatan sedikit lebih kecil, mewujudkan lingkaran cahaya matahari yang bercahaya di sekeliling tepinya.
“Gerhana matahari anulus berlaku apabila Bulan melintas di antara Matahari dan Bumi, tetapi ia berada pada atau berhampiran titik terjauhnya dari Bumi. Oleh kerana Bulan lebih jauh dari Bumi, ia kelihatan lebih kecil daripada Matahari dan tidak menutupi Matahari sepenuhnya,” tulis NASA.
“Hasilnya, Bulan kelihatan sebagai cakera gelap di atas cakera yang lebih besar dan terang, mewujudkan apa yang kelihatan seperti cincin di sekeliling Bulan,” tambahnya.
Menurut laman berita Space.com, gerhana itu akan bermula dengan fasa separa sekitar pukul 9.56 pagi UTC, mencapai liputan maksimum sekitar pukul 12.12 tengah hari UTC dan berakhir sekitar pukul 2.27 petang UTC.
Laluan gerhana itu bagaimanapun hanya akan melalui benua Antartika, menjadikannya tidak boleh dilihat oleh kebanyakan penduduk dunia. – AGENSI














