fbpx
Tangkap layar video Muhammad Kamarul (tengah) bersama pihak Nuh Travel semasa di KLIA, Sepang sebelum berlepas ke Jeddah, petang tadi.

[VIDEO] Rupa-rupanya dia nak jadikan bumi Anbiya itu rumahnya – Suami Nadia Kesuma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Rupa-rupanya dia nak jadikan Jeddah itu, tanah Arab, bumi Anbiya itu sebagai rumah dia, masya-Allah,” kata suami Allahyarham Nadia Kesuma, Prof. Dr. Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, 57.

Beliau berkata, selepas mengerjakan umrah pada tahun lalu, Allahyarham Nadia Kesuma menyimpan niat untuk datang sekali lagi ke sana bagi menunaikan ibadah berkenaan.

“Dia memang sering kata, ‘saya nak pergi sana lagi, saya nak pergi sana lagi’. Masa saya hantar malam itu di KLIA, bila mana semua jemaah berkumpul untuk taklimat, kami sedang berjalan.

“Nadia kata, ‘alamak, tahun ini tak macam tahun lepas’. Sebab tahun lepas dia pergi dengan kawan-kawan, tahun ini dia pergi dengan ‘strangers’. Dia tak pernah jumpa lagi (kumpulan jemaah), orang yang sama-sama nak menunaikan umrah.

“Insya-Allah, dalam malam ini lah, saya akan ‘bertemu’ lagi,” katanya diakhiri dengan rasa sebak dalam satu video dikongsikan oleh syarikat agensi Nuh Travel & Tours Sdn. Bhd. pada Facebook hari ini.

Video itu dikongsikan pihak agensi tersebut sebelum Muhammad Kamarul yang juga pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) berlepas ke Jeddah bersama anaknya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang tadi.

Dalam video itu, beliau turut berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang banyak membantu urusan berkaitan.

Sementara itu, Nuh Travel menerusi kenyataannya memaklumkan, waris Allahyarham Nadia Kesuma atau nama sebenarnya, Nadiah Kasumawati Abdul Karim, 50, berlepas ke Jeddah pukul 5.35 petang tadi menggunakan penerbangan Saudia.

“Sepanjang keberadaan waris di Jeddah, segala urusan penginapan dan pengangkutan diuruskan oleh Nuh Travel dengan kerjasama rapat Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah, bagi memastikan kebajikan, keselamatan dan keselesaan waris sentiasa terjaga.

“Pihak Nuh Travel merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Datuk Seri Reezal Merican atas kesudian meluangkan masa bersama pihak keluarga di KLIA, serta sumbangan bantuan kewangan bagi pembelian tiket penerbangan sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada pihak waris,” kata kenyataan itu.

Pihak agensi turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan atas bantuan dan sokongan beliau yang telah melancarkan proses mengesan keberadaan Allahyarham.

“Pihak Nuh Travel juga merakamkan penghargaan tidak terhingga kepada Wisma Putra serta Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah atas penglibatan aktif, komitmen tinggi dan kerjasama berterusan dalam memudah cara serta membantu proses mengesan keberadaan Allahyarham sejak awal kejadian.

“Pihak Nuh Travel amat menghargai segala doa, sokongan dan keprihatinan ditunjukkan oleh pelbagai pihak sepanjang tempoh amat mencabar ini. Kami sekali lagi memohon agar privasi keluarga Allahyarham terus dihormati, serta mendoakan agar segala urusan seterusnya dipermudah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN