PETALING JAYA – “Awak terlebih booking (tempahan) sampai ke hari Jumaat. Tapi Jumaat, kita tutup”.
Itu teguran pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming selepas mendapati seorang wanita cuba menipu dengan memuat naik tempahan makan untuk lapan orang di restoran Rembayung, Jumaat lalu.
Terdahulu, wanita berkenaan yang dipercayai warga asing memuat naik satu hantaran di Threads mencari teman makan di Rembayung antara pukul 6.30 petang hingga 7.30 malam.
Bagaimanapun, tindakannya mencari ‘teman’ itu digagalkan Khairul Aming selepas mendapati wanita berkenaan membuat tempahan pada hari cuti restoran itu.
Sementara itu, seorang individu turut berkongsi satu hantaran mengenai penipuan dalam talian yang memaparkan bukti tempahan makanan menggunakan tarikh semalam.
Menjengah ke ruangan komen, ramai hampir terpedaya dengan teknik baharu penipuan dalam talian terutama dengan tempahan makan di restoran terkenal.
“Kenapa hari Jumaat? Bukan Rembayung tutup ke? Nak tolong cuci longkang ke?,” komen @Sysysyusyiee.
“Bagus juga pemilik restoran komen pada hantaran ‘scammer’. Biar lebih ramai tahu dan tak tertipu,” komen @Hhaa_naa. –KOSMO! ONLINE














