KOTA BHARU – Kerugian sebanyak RM50.09 juta direkodkan di Kelantan melibatkan pelbagai penipuan jenayah komersial sepanjang tahun lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, sebanyak 2,010 kes direkodkan sepanjang tahun lalu berbanding 1,095 kes pada 2024.
Menurutnya, bagaimanapun, nilai kerugian menurun sebanyak RM4.94 juta daripada RM55.04 juta pada 2024 kepada RM50.09 juta sepanjang tahun lalu.
“Walaupun nilai keseluruhan kerugian berkurangan, jumlah kes jenayah komersil merekodkan peningkatan terutamanya Macau Scam dengan jumlah daripada 98 kes kepada 139 kes. Ia melibatkan kerugian daripada RM4.47 juta pada 2024 kepada RM7.63 juta pada 2025.
“Penipian e-dagang turut merekodkan peningkatan ketara apabila melonjak daripada 213 kes kepada 453 kes dengan kerugian meningkat daripada RM1.85 juta kepada RM3.29 juta,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff memberitahu, selain itu, kes penipuan kerja sambilan secara dalam talian turut mencatatkan peningkatan daripada 80 kes kepada 253 kes.
Menurutnya, kerugian kes penipuan kerja sambilan itu juga meningkat hampir lima kali ganda sehingga mencecah RM7.90 juta sekali gus menunjukkan bahawa golongan rakyat biasa ramai tertipu semasa mencari pendapatan tambahan.
“Penipuan pelaburan dalam talian meningkat kepada 205 kes dengan kerugian mencecah RM12.47 juta menjadikannya antara penyumbang kerugian tertinggi di Kelantan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE













