fbpx
Anggota PGA mengawal lokasi sebelum kerja-kerja perobohan pangkalan haram dilakukan di Rantau Panjang baru-baru ini.

71 lagi jeti haram di Sungai Golok diroboh minggu depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Kerja-kerja meroboh sebanyak 71 lagi jeti haram sepanjang Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand bagi mengekang aktiviti penyeludupan disambung pada Ahad depan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, perobohan pangkalan haram itu dijangka akan mengambil masa selama dua minggu selepas pihak kementerian sudah bersetuju mengeluarkan peruntukan untuk tujuan tersebut.

Menurutnya, kerja-kerja itu melibatkan pangkalan haram berstruktur yang mempunyai tangga dan jeti yang dipercayai untuk kegunaan penyeludup menjalankan kegiatan jenayah rentas sempadan.

“Sebanyak 96 pangkalan haram di Sungai Golok merupakan jeti yang berstruktur. Lebih 200 pangkalan haram itu dijangka siap diroboh sebelum Mac ini.

“Operasi perobohan dijalankan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara, Pejabat Tanah dan Galian dan Jabatan Kerja Raya,”katanya selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff memberitahu, kerja-kerja perobahan pangkalan haram dijalankan bermula dari arah sungai berikutan laluan masuk ke kawasan tersebut sempit.

Katanya, setakat ini, polis tidak menerima sebarang provokasi daripada penduduk tempatan sepanjang kerja-kerja perobohan pangkalan haram dijalankan bermula Oktober lalu.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, kerja-kerja meroboh 216 jeti haram atas tanah kerajaan di sepanjang Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand bagi mengekang aktiviti penyeludupan dijangka selesai pada Mac ini.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara Kelantan, Datuk Mohd. A. Aruwan Ab. Aziz berkata, setakat ini, sebanyak 25 pangkalan haram melibatkan jeti berstruktur dirobohkan sejak operasi dilaksanakan pada 28 Oktober lalu.

Menurutnya, operasi itu bagaimanapun terpaksa ditangguhkan pada hujung bulan lalu berikutan banjir dan dijangka selesai Mac ini.

“Terdapat 96 pangkalan haram yang berstruktur (atas tanah kerajaan). Buat masa ini, jeti haram atas tanah persendirian masih belum dirobohkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI