SELEPAS mempamerkan aksi memukau menumbangkan petarung Indonesia, Mohamad Redho, jaguh muay thai negara, Rifdean Masdor terus melaungkan amaran mahu mencabar bintang sensasi Jepun, Nadaka Yoshinari.
Dalam aksi ONE Friday Fights 138 di Stadium Lumpinee lewat malam kelmarin, Rifdean membuktikan dia berada di kelas tersendiri apabila hanya memerlukan 2 minit 34 saat pada pusingan pertama untuk menewaskan lawannya menerusi keputusan knockout (KO).
Kemenangan bergaya menerusi hentaman siku tajam selain sepakan tepat menghingap ke muka Redho itu ternyata menyuntik keyakinan tinggi buat atlet berusia 23 tahun itu untuk berdepan lawan yang lebih ternama.
Bercakap mengenai sasarannya selepas ini, Rifdean tanpa berselindung mengakui impiannya adalah untuk menguji kehebatannya menentang Nadaka yang dianggap sebagai ‘raja’ dalam divisyen Atomweight.
Menurut Rifdean, dia tidak gentar untuk berdepan jaguh dunia itu kerana ia adalah peluang terbaik untuk mengukur kemampuannya, malah menyifatkan pertarungan itu sebagai situasi ‘tiada rugi’ baginya.
“Alhamdulillah menang. Ya, memang betul nak jumpa, nak Nadaka. Kalah menang belakang cerita.
“Jadi, bila saya dapat lawan dengan dia, saya nak berikan sehabis baik. Kalau kita menang, itu bonus. Kalau kalah, tak rugi apa-apa. Saya mahu lawan yang terbaik. Jika saya diberikan Nadaka, pasti saya datang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Kemenangan ke atas Redho, 26, itu menyaksikan Rifdean mencatat kemenangan ketiga berturut-turut selepas sebelum ini menewaskan Bernueng Sor Salacheep dari Thailand dan Nongbia LaoLaneXang dari Laos, tahun lalu.
Prestasi cemerlang itu turut menarik perhatian Ketua Pegawai Eksekutif ONE Championship, Chatri Sityodtong yang memberikan bonus prestasi sebanyak 350,000 Baht (RM46,000).
Secara keseluruhan, Rifdean sudah mengumpul lima kemenangan dalam enam pertarungan sejak menyertai ONE Championship pada 2024, sekali gus meletakkannya sebagai pencabar serius dalam divisyen atomweight.
Sebagai rekod, Nakada dinobatkan sebagai juara dunia atomweight selepas menewaskan petarung Thailand, Numsurin Chor Ketwina menerusi keputusan sebulat suara (Unanimoues Decision) pada November lalu dan masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam empat pertarungan setakat ini.














