fbpx
Saifuddin

Buka Pusat Khidmat Rakyat bukan isyarat bertanding PRU16 – Saifuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KULIM – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa pembukaan Pusat Khidmat Rakyat di Parlimen Padang Serai bukan petanda beliau akan bertanding di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Pengerusi PKR Kedah itu berkata, perkara tersebut kerana belum ada sebarang keputusan mengenai penyertaannya dalam PRU16, termasuk soal kerusi atau kawasan yang bakal ditandingi.

Jelas beliau, tindakan membuka Pusat Khidmat Rakyat di kawasan itu adalah bagi membolehkan masyarakat Padang Serai menerima pelbagai manfaat yang disediakan Kerajaan Persekutuan.

“Tidak, itu terlalu awal (menentukan kerusi). Saya katakan tadi sebagai Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPN), saya ada pejabat di Kedah tetapi di sana (Alor Setar), di sini Kedah Selatan, jadi lebih mudah rakyat mendapat akses.

“Saya boleh jadi bertanding, boleh jadi tidak. Boleh jadi di sini, boleh jadi di tempat lain. Jadi masih terbuka. Saya tidak ada menyebut secara sah bahawa pembukaan pusat khidmat ini bermaksud saya bertanding di sini, tidak ada sebut begitu,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Pusat Khidmat Rakyat di Lunas, Padang Serai, malam tadi.

Saifuddin yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) sebelum ini pernah memenangi kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu, namun tewas pada PRU15.

Mengulas kerjasama politik bersama Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang, beliau berkata, perkara itu juga masih terlalu awal untuk dibincangkan, namun menegaskan parti-parti yang membentuk kerajaan ketika ini berjalan dengan baik.

“Buat masa sekarang kita adalah regu strategik yang sudah memasuki tahun ketiga. Berbeza dengan 2020 dahulu, tempoh tiga tahun itu menyaksikan dua Perdana Menteri, tetapi kerajaan ini masih kekal dan kita juga mendengar ucapan Presiden UMNO yang membuat keputusan untuk UMNO terus bersama Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas Mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah yang diadakan kelmarin, beliau berkata mesyuarat itu bertujuan memperkemas gerak kerja parti.

Sebagai pembangkang di Kedah, ujar Saifuddin, mereka bertanggungjawab bukan sekadar mengkritik kerajaan negeri, tetapi turut menawarkan penyelesaian kepada permasalahan rakyat.

“Berbeza di peringkat Persekutuan, di Kedah kita adalah pembangkang. Jadi kita perlu memainkan peranan berkesan sebagai semak dan imbang. Ia perlu bermula dengan organisasi yang kemas dan maklumat yang tepat.

“Selepas tiga tahun sebagai Pengerusi Bersama MTPN Kedah, saya boleh memantau pencapaian projek Kerajaan Persekutuan. Jika ada masalah yang berlaku dan membabitkan kerajaan negeri, kita akan sampaikan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI