PETALING JAYA – Sikap prihatin dan empati seorang pramugara Malaysia Airlines (MAS) mencuri perhatian ramai melalui tindakannya dalam mengendalikan penumpang sakit.
Menerusi hantaran oleh pengguna Threads @Meerzikry, kakitangan penerbangan itu dikatakan menunjukkan layanan luar biasa terhadap seorang kanak-kanak yang mengalami demam ketika penerbangan dari Jeddah ke Kuala Lumpur.
Penumpang cilik itu duduk di hadapan dan kelihatan tidak sihat sejak awal penerbangan. Menyedari situasi itu, pramugara tersebut tampil membantu menguruskan kanak-kanak tersebut dengan penuh kasih sayang seperti menjaga anaknya sendiri.
“Dia bagi ubat, susunkan tempat duduk supaya budak itu boleh baring dengan selesa. Setiap dua jam dia datang semula untuk periksa suhu badan,” ujarnya.
Lebih menyentuh hati, pramugara itu turut mengatur beberapa tempat duduk kosong agar ibu kanak-kanak tersebut dapat berehat dengan selesa sepanjang penerbangan jarak jauh itu.
Menjengah ke ruangan komen, hantaran tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.
“Sebab utama kenapa saya sentiasa memilih untuk terbang dengan Malaysia Airlines kerana mutu (perkhidmatan) kru kabin mereka antara yang terbaik,” kongsi @Wana_anne.
“Kenal. Leading Steward saya. Memang baik orangnya,” kata @Ajwinnajeera.
“Dia antara kru MAS yang pernah memenangi anugerah ‘cabin rew’ (kru kabin) terbaik dunia lapan tahun berturut turut dahulu,” komen @Bouldputra. – KOSMO! ONLINE














