KUALA LUMPUR- Tindakan mengeluarkan surat tuntutan undang-undang (LOD) terhadap guru bukanlah satu bentuk hukuman, sebaliknya seakan isyarat ugutan kepada warga pendidik.
Itu pandangan dikemukakan wakil jurucakap Pulau Pinang, Mohd. Noor Ahmad, ketika Sesi Perbahasan Usul di Persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2025 (PAU 2025) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia, di sini hari ini.
Beliau berkata, tindakan perundangan boleh menyumbang perasan fobia dalam kalangan guru untuk melaksanakan tugas hakiki mereka.
“Seolah-olah tidak ada jaminan perundangan untuk melindungi kepentingan profesionalisme mereka (para guru).
“Apabila saya bertanya sendiri guru dalam kalangan akar umbi parti di Pulau Pinang, rata-rata memberikan jawapan, ‘Biar sahaja murid tanpa pendekatan ‘rotan didik’ kalau tidak mahu berdepan risiko LOD daripada peguam plaintif yang dilantik oleh waris murid,” katanya.
Jesteru itu, beliau berkata, Umno perlu mengembalikan kuasa ‘rotan didik’ kepada semua guru Malaysia.
“Kalau perlu menggubal suatu perundangan khusus atau memperkemas aspek perundangan berkaitan bagi memberi keyakinan semula kepada guru-guru untuk melaksanakan tugas hakiki mereka, elok dibincangkan dan direalisasikan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














