PETALING JAYA – Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah menyalurkan sebarang peruntukan kewangan bagi projek penternakan babi, termasuk cadangan pemindahan ladang ke Bukit Tagar, Hulu Selangor.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir. Izham Hashim dalam satu audio siar (podcast) berkata, projek berkenaan dilaksanakan sepenuhnya melalui usaha pihak swasta dan berasaskan konsep komersial, manakala peranan kerajaan negeri hanyalah sebagai pemudah cara.
Menurutnya, perkara itu turut dimaklumkan secara jelas kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika sesi menghadap sebelum ini.
“Tuanku sendiri menyatakan tidak perlu ada sebarang sumbangan atau dana daripada kerajaan negeri untuk projek ini. Dari awal lagi dasar kerajaan negeri memang jelas, kita tidak keluarkan dana,” katanya.
Izham menjelaskan, kerajaan negeri hanya membantu dari segi penyelarasan dan mempercepatkan proses melibatkan agensi berkaitan, termasuk mempertemukan penternak dengan pelabur serta pemilik tanah bagi mencari penyelesaian terbaik secara komersial.
Beliau berkata, semua keputusan berkaitan projek tersebut dibuat secara telus melalui mesyuarat rasmi Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan Exco, sekali gus menafikan dakwaan wujud unsur salah tadbir atau pilih kasih.
“Ini bukan soal khinzir sahaja. Ayam atau apa-apa ternakan pun sama. Kerajaan negeri hanya memudah cara, bukan membiayai. Tidak pernah tiba-tiba kita keluarkan duit negeri,” katanya.
Dalam masa sama, Izham menegaskan Sultan Selangor bukan bersikap anti terhadap makanan masyarakat bukan Islam, sebaliknya menzahirkan kebimbangan terhadap isu pencemaran, khususnya bau dan air yang boleh menjejaskan kawasan tadahan hujan serta sumber air minuman.
Katanya, Sultan Selangor turut mengarahkan agar jumlah ternakan dikaji semula berdasarkan keperluan sebenar masyarakat bukan Islam di Selangor dan menegaskan supaya tiada sebarang aktiviti eksport dilakukan.
“Tuanku tekankan berkali-kali, jangan ada eksport. Hanya untuk keperluan dalam negeri Selangor sahaja,” jelasnya.- KOSMO! ONLINE














