PETALING JAYA – Keputusan kerajaan negeri Selangor untuk memindahkan operasi kandang babi ke kawasan Bukit Tagar terus menerima bantahan apabila lebih 500 penduduk sekitar Hulu Selangor berhimpun selepas solat Jumaat di Felda Sungai Tengi Selatan, hari ini.
Perhimpunan aman itu dianjurkan oleh beberapa individu dari tanah rancangan Felda berdekatan termasuk Felda Soeharto dan Felda Sungai Tengi Selatan bagi menyuarakan kebimbangan penduduk terhadap kesan jangka panjang projek berkenaan.
Antara penganjur, Datuk Mohamad Khairudin Mohamad yang juga anak peneroka Felda berkata, cadangan penempatan kandang babi di kawasan tersebut berisiko mencetuskan pencemaran alam sekitar, khususnya di kawasan tadahan hujan.
“Kami bimbang sekiranya berlaku pencemaran sungai kerana terdapat beberapa sumber air di kawasan ini yang digunakan sebagai bekalan air minuman penduduk,” katanya.
Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Sungai Tengi Selatan, Md. Sooam berkata, jarak tapak kandang babi yang dianggarkan hanya sekitar 12 hingga 20 kilometer dari kawasan penempatan penduduk turut menjadi isu utama.
Menurutnya, keadaan itu berpotensi menjejaskan kesegaran udara yang selama ini dinikmati penduduk setempat termasuk pelajar Universiti Selangor (Unisel) yang terletak berhampiran kawasan tersebut.
“Kami tidak mahu kualiti hidup penduduk terjejas, apatah lagi melibatkan kesihatan dan persekitaran,” ujarnya.
Penduduk turut menyuarakan kebimbangan mengenai risiko penularan penyakit berpunca daripada haiwan ternakan itu, dengan mengambil iktibar kes-kes lampau seperti jangkitan Japanese Encephalitis (JE) serta pencemaran sungai yang pernah berlaku di Bidor, Perak.
Sehubungan itu, kumpulan penduduk mendesak agar kerajaan negeri Selangor mempertimbangkan semula keputusan berkenaan demi menjamin kesejahteraan, kesihatan dan keselesaan hidup masyarakat setempat. – KOSMO! ONLINE














