JAKARTA – Seorang penunggang motosikal di Gresik, wilayah Jawa Timur menerima perhatian orang ramai apabila dirakam membaling batu pada sebuah bas penumpang di tengah jalan raya, lapor portal berita iNews Jatim.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan lelaki terbabit sedang menunggang motosikalnya di laluan bertentangan arah sebelum melempar batu pada tingkap bas sehingga pecah.
Agensi Pengangkutan Jawa Timur menyatakan, bas itu dipandu pada kelajuan biasa semasa kejadian.
Ketua Agensi Pengangkutan Jawa Timur, Nyonyo berkata, pihaknya berjaya mengenal pasti pelaku selepas memeriksa rakaman CCTV.
“Kami telah mengenal pasti identiti pelaku termasuk nombor pendaftaran kenderaannya. Dia pernah melakukan perkara serupa sebanyak dua kali. Dalam kes ini, dia dilihat membawa batu sebelum memotong bas tersebut,” kata Nyonyo.
Tindakan undang-undang akan diambil bagi memastikan pengangkutan awam tidak menjadi sasaran vandalisme. – AGENSI














