SHAH ALAM – “Jika mahu diusahakan juga, biarlah di kawasan majoriti penduduk pemakan daging babi.”
Itu pendirian tegas lebih 2,000 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang menentang sekeras-kerasnya sebarang aktiviti ternakan babi di Selangor termasuk cadangan memindahkan ladang tersebut ke Bukit Tagar, Hulu Selangor.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali berkata, kegagalan mengurus ladang babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat sehingga menjejaskan kehidupan penduduk setempat disifatkan amat teruk dan tidak wajar berulang di lokasi lain.
“Kami membantah keputusan kerajaan negeri untuk memindahkan ladang babi ke Bukit Tagar kerana akan menjejaskan kehidupan penduduk yang majoritinya beragama Islam. Kami tidak akan berkompromi sekiranya kawasan penempatan orang Melayu dijadikan sasaran.
“Kami juga menentang cadangan menjadikan Selangor sebagai pengeksport daging babi sedangkan negara ini beragama Islam dan perkara itu tidak wajar berlaku. Selangor sepatutnya menjadi negeri pertama yang menguatkuasakan hanya daging babi import dibenarkan berada di pasaran negeri ini,” tegasnya ketika ditemui pada bantahan aman di luar Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) di sini, petang ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan kesemua 115 ladang ternakan babi di Kuala Langat dan Sepang, melibatkan 100,000 ekor babi akan ditutup dan dipindahkan ke ladang berpusat moden di Bukit Tagar, Hulu Selangor secara berperingkat. – KOSMO! ONLINE














