fbpx
Zainab menganyam tikar mengkuang di rumahnya di Kampung Tanjung Maktat, Bukit Mentok, Kemaman semalam.

[VIDEO] Makin tua makin berseni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMAMAN – Walaupun sudah menjangkau usia 88 tahun, seorang wanita warga emas masih gagah menganyam tikar mengkuang yang telah diusahakannya sejak lebih 70 tahun lalu.

Zainab Abu Bakar berkata, dia mewarisi kemahiran menganyam tikar mengkuang itu daripada arwah ibu saudaranya sewaktu dirinya berusia 13 tahun.

Warga emas yang mempunyai lima anak, 29 cucu, 58 cicit dan seorang piut tersebut bukan sahaja mahir menganyam malah masih larat meredah paya di belakang rumahnya untuk mencari daun mengkuang.

“Alhamdulillah, biarpun dunia semakin moden, permintaan terhadap tikar mengkuang tidak pernah putus.

“Begitupun, tinggal saya satu-satunya pengusaha tikar mengkuang yang masih hidup di kampung ini bagi meneruskan perusahaan tersebut,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanjung Maktat, Bukit Mentok di sini semalam.

Zainab berkata, kebanyakan generasi baharu termasuk lima anak perempuannya tidak berminat mewarisi perusahaan anyaman tikar mengkuang ber­kenaan yang memerlukan ketelitian dan kesabaran.

Katanya, biarpun anak-anak­nya itu mahir, mereka enggan meneruskan kerana mendakwa kerja-kerja menghasilkan tikar mengkuang terlalu renyah dan memakan masa.

“Proses membuat tikar mengkuang bermula dengan mencari daun sebelum membelahnya menggunakan alat khas yang dipanggil ‘jaka’.

“Daun mengkuang itu kemudiannya direndam selama dua hari agarnya warna semula jadinya luntur sebelum dijemur dua hari lagi. Jika diwarna, proses menjemur lebih lama lagi,” katanya.

Zainab berkata, sehelai tikar mengkuang berukuran 2.29 meter panjang dan 1.37 meter lebar biasanya memakan masa kira-kira lima hari untuk disiapkan.

Katanya, dia mampu siapkan 10 helai tikar mengkuang sebulan yang dijual masing-masing pada harga antara RM60 hingga RM70 mengikut warna.

“Tempahan diterima ada sampai ke Sabah dan Sarawak. Ada juga yang terpaksa ditolak sebab kekangan masa,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI