KANGAR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi membatalkan fatwa dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis (JFP) terhadap GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH).
Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas memutuskan permohonan semakan kehakiman tersebut tidak berasas daripada segi undang-undang dan menolak cabaran terhadap fatwa berkenaan.
Beliau ketika membacakan keputusannya berkata, berdasarkan Seksyen 48 Enakmen 4/2006, sesuatu fatwa itu hanya boleh diwartakan selepas mendapat perkenan daripada Raja Perlis.
“Raja Perlis sebagai Ketua Agama Islam mempunyai kuasa prerogatif dalam memperkenankan sesuatu fatwa dan ini berbeza dengan fungsi legislatif baginda bagi memperkenankan sesuatu Rang Undang-Undang.
“Memandangkan jelas fatwa tersebut adalah tertakluk kepada prerogatif Raja Perlis, mahkamah berpandangan bahawa ia tidak boleh dibenarkan untuk dipertikaikan oleh mahkamah ini.
“Sehubungan itu, mahkamah ini merumuskan bahawa ia menunjukkan bahawa mahkamah ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengkaji semula fatwa tersebut yang dibuat menurut prerogatif Tuanku Raja Perlis. la menjadikan mahkamah ini tiada bidang kuasa untuk mendengar dan menentukan cabaran terhadapnya. Atas dasar pertimbangan ini, mahkamah merumuskan bahawa permohonan kebenaran di Kandungan Satu adalah ditolak,” katanya.
Abazafree berkata, fatwa tersebut juga hanya sekadar menyentuh segala ajaran, aktiviti dan apa sahaja yang boleh membantu GISBH adalah dilarang termasuk mengadakan atau menghadiri ceramah, kelas pendidikan, pembelajaran, menyokong, mengembang serta menyebarkan kepercayaan tersebut.
“Atas dasar ini sahaja, mahkamah ini tidak teragak untuk merumuskan bahawa kedua-dua pemohon tidak sepatutnya dibenarkan untuk mencabar fatwa tersebut melalui permohonan sebegini dan mewajarkan mahkamah ini untuk menolak permohonan kebenaran,” katanya.
Tambahnya, Mahkamah Tinggi sebagai mahkamah sivil bukanlah forum untuk menentukan perkara itu dan ia berbalik kepada salah satu raison d’etre di sebalik Fasal (1A) dalam Perkara 121 Persekutuan Perlembagaan di mana hanya mereka yang benar-benar berilmu dan memiliki tahap kepakaran mencukupi diberikan tanggungjawab untuk memutuskan perkara tersebut.
“Pihak yang diiktiraf secara sah mempunyai kepakaran ini ialah semestinya Mahkamah Syariah,” katanya.
Defenden diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambali bersama Peguam Persekutuan, Mohammad Solehheen Mohammad Zaki manakala pemohon pula diwakili peguam, Zulfikri Ulul Azmi.
Pada 14 Oktober 2024, JFP telah mengeluarkan satu fatwa berkaitan pegangan kumpulan GISB Holdings Sdn. Bhd. yang difatwakan sebagai fahaman bersifat batiniah, menyeleweng dan sesat.
Fatwa tersebut turut menyimpulkan bahawa model ekonomi yang diamalkan GISBH adalah bercanggah dengan prinsip ekonomi Islam kerana dikatakan mempunyai unsur penindasan serta perhambaan terhadap mereka yang terlibat serta eksploitasi ke atas ahli, kanak-kanak, wanita dan keluarga. – KOSMO! ONLINE














