fbpx
Kemenjadian konsert Siti Nurhaliza yang dibanjiri 65,000 orang dan kisah perceraian Kamal dan Uqasha antara yang menjadi sorotan sepanjang minggu ini.

Sehebat Siti pun diperli, Uqasha-Kamal cerai apatah lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RUMAH sudah siap, tapi pahat masih berbunyi. Begitulah yang berlaku dalam media sosial ketika ini apabila cerita tentang konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza masih menjadi topik perbualan hangat netizen.

Ada yang gagal ‘move on’, berada dalam fasa Post-Concert Depression (PCD) dan terdapat juga golongan kaki kecam dan masih meluahkan ketidakpuashatian dengan konsep konsert disajikan Biduanita Negara tempoh hari.

Meski Siti sudah membuktikan kehebatannya berjaya mengumpul lebih 65,000 peminatnya dari seluruh negara di Stadium Nasional Bukit Jalil, konsertnya masih tidak terlepas daripada menjadi sasaran mulut sinis segelintir individu.

Jika diteliti sehingga kini, di sebalik ribuan pujian, terselit komen-komen ‘pedas’ pembeli tiket konsert tersebut yang mempertikai dan kurang berpuas hati dengan konsep diketengahkan.

Bagi mereka, konsep tersebut tidak jauh beza daripada yang pernah dilakukan dalam beberapa konsertnya terdahulu.

“Mampu beri lebih baik dan perlu berani mencuba sesuatu yang berbeza untuk konsert mendatang.

“Tidaklah bosan, vokal Siti memang tiada tandingan tetapi konsep perlu cari kelainan. Tak selari dengan perayaan 30 tahun,” komen seorang peminat.

Kedengaran seperti komen biasa tetapi pendapat sebegitu tidak harus dipandang sepi kerana peminat sentiasa menanti kelainan, sekali gus menarik mereka untuk terus membeli tiket pada masa hadapan.

Kemuncaknya apabila ada komen sinis daripada seorang penganjur acara lain berhubung  sebuah konsert yang menurutnya membosankan dan tiada kelainan serta masih mengetengahkan konsep serupa.

Meski menafikan kenyataan tersebut merujuk konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza, rata-rata peminat berpendapat sebaliknya.

Begitulah perjalanan seni Siti, seindah pelangi setinggi manapun pencapaiannya, tetaplah tidak semua disenanginya. Namun, walau dihenyak dengan kecaman namanya kekal utuh sehingga hari ini.

Meski dihujani kecaman dan komen negatif, peminatnya setia menanti untuk membeli tiket konsert tradisional Siti yang dijangka diadakan pertengahan tahun ini.

Sudah cerai, masih ‘bingit’

Suhu termometer industri hiburan minggu ini bukan hanya memanas disebabkan Siti tetapi juga mengenai runtuhnya rumah pasangan selebriti, Kamal Adli dan Uqasha Senrose.

Kurang setahun turun naik mahkamah, mahligai yang dibina Kamal dan Uqasha sejak 4 November 2021 akhirnya musnah selepas sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada 12 November lalu.

Meski berat untuk melafazkan talak terhadap isteri, Kamal akhirnya akur tetapi masih menyimpan hasrat untuk kembali rujuk dengan Uqasha.

Namun, Kamal sekali lagi berjaya meruntun hati orang ramai apabila meminta berhenti melemparkan kecaman terhadap bekas isterinya selain mendoakan dirinya terus kuat berdepan dengan dugaan.

“Sumpah demi Allah SWT saya tak nak lepaskan pun dan kena lepaskan sebab saya boleh dapat ruang dan peluang untuk nak rujuk balik.

“Terima kasih tapi tolong jangan tulis benda buruk-buruk pasal Uqasha. 

“Jangan kecam dia ke siapa-siapa, cakap baik-baik saja,” katanya kepada media.

Dia juga berharap agar segala urusannya untuk bertemu dengan anak perempuan mereka, Hawra Uqaira yang kini di bawah jagaan Uqasha tidak dipersulitkan.

“Kepada keluarga Uqasha, saya minta maaf sekiranya gagal menjaga serta membahagiakan dia seperti sepatutnya.

“Saya sudah berusaha sedaya mungkin, namun sampai di sini sahaja jodoh kami,” jelasnya.

Sementara, Uqasha pula kekal dengan pendirian untuk tidak kembali bergelar isteri kepada Kamal dan mahu ‘move on’ serta membesarkan Hawra.

“Nak hadam semua ambil sedikit masa sebelum boleh bercakap dengan tenang.

“Apa pun, doakan saya bersama anak supaya terus melangkah ke depan,” ujarnya.

Namun, kisah cerai tidak berakhir di situ apabila Uqasha pula bersuara mendakwa netizen berlebih-lebihan dalam memberikan komen.

Seperti tidak berkesudahan meskipun rumah tangga mereka sudah menemui titik noktah. 

Kemelut antara mereka masih terus hangat menjadi topik perbualan ramai dan Uqasha tetap menjadi lubuk kecaman penyokong Kamal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN