fbpx

‘Makin berusia, makin kerap ditanya bila nak berdua’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ACAPKALI disogok perihal jodoh, penyanyi Ara Johari tidak mencebik sebaliknya menganggap persoalan sedemikian sebagai tanda prihatin insan sekeliling terhadap dirinya.

Menyifatkan itu juga antara doa dilorongkan kebaikan, pemilik nama lengkap Nurfarrah Izzatie Johari mahu tenang menangani kehidupan solo.

Begitulah juga pendekatan yang diambil saat mendepani spekulasi cinta dengan pempengaruh media sosial, Ervan Rizuan. Sedikit tidak tersinggung apatah lagi melatah naik marah.

Baginya, jodoh akan datang sendiri apabila tiba masa yang tepat, sekali gus keakraban dengan pemuda terbabit didefinisikan tidak ubah sekadar rakan baik.

“Terima kasih kepada yang mendoakan, cuma buat masa ini hati saya belum dimiliki walaupun ada yang mengaitkan saya dengan seseorang. Apa pun kami sekadar kawan baik.

Ara kini mempertaruhkan pula Terlalu Bodoh sebagai kesinambungan emosi lagu MJOL.

“Kalau ada yang mendoakan saya cepat naik pelamin, saya aminkan saja. Bagi saya lumrah, semakin kita tambah usia, semakin kerap ditanya bila nak berdua.

“Tak perlu ‘bitter’, saya okey saja kalau ditanya fasal kekasih atau bila nak kahwin. Jika ada, adalah. Buat masa ini kita dapat fokus pada kerjaya, terutama promosi single baharu saya berjudul Terlalu Bodoh,” katanya kepada HibGlam.

Dikenali dengan keperibadian happy go lucky, wanita peramah itu dengan nada teruja bersyukur single ciptaan komposer seberang Ilham Baso yang dilancarkan dua bulan lalu meraih sambutan pendengar.

Begitupun, akuinya kisah kesinambungan daripada lagu Menjaga Jodoh Orang Lain (MJOL) juga nukilan komposer sama bukan berkisar pengalaman percintaannya.

Terlalu Bodoh adalah mengenai orang terdekat saya, cuma diketengahkan untuk membuka mata orang ramai agar lari daripada hubungan toksik.

“Pada masa sama lagu ini juga cara saya untuk keluar dari zon selesa dan tampil bersama ‘bunyi’ berbeza menerusi jalinan kerjasama dengan komposer negara jiran.

“Mahu tampil dengan lebih segar, saya perlu memberanikan diri menjalin kerjasama dengan komposer luar. Ini juga diharap sebagai langkah menembusi pasaran luar,” ujarnya.

Ara yang teruja dengan penerimaan ramai turut berkongsi berita gembira bahawa Terlalu Bodoh turut menjadi lagu OST bagi drama bersiri Pak Su Ammara lakonan Ummi Nazeera dan Que Haidar siaran Astro Ria.

Bercerita lagi perihal kerjaya, penyanyi asal Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu bersyukur bakal meraikan sedekad pembabitannya dalam industri muzik tahun ini.

Tambah Ara, selama 10 tahun  mengembangkan bakat, bukan sedikit getir ditelan demi melayakkan kemampuan vokal serta bakatnya diperakui ramai.

Sekali lagi kembali ke terowong masa, ujarnya dia ligat beradu dalam pertandingan nyanyian seawal usia 10 tahun atas dorongan keluarga yang melihat kesungguhannya.

Justeru, rezeki dilorongkan sebagai anak seni sangat disyukuri apabila mampu menyenangkan famili dengan  hasil titik peluh dan memenuhi impian ibu bapa untuk melihatnya bergelar penyanyi.

Bertitik tolak daripada penyertaan di pertandingan realiti Akademi Fantasia musim ke-13 (AF13) pula pada 2016, langkahnya kini melebar, namun ada segelintir mendakwa laluannya cukup mudah untuk berada di tempat sekarang.

“Mungkin orang luar sangka saya datang daripada keluarga senang, ada bisnes katering, jadi mudah  ‘naik’ kerana buat lagu pun ‘dipayung’. Takkan kesusahan kita tunjuk pada orang?

“Hakikatnya saya juga melalui jalan sukar, cuma kelebihan adalah pengalaman sepanjang berada dalam AF13 yang turut mengajar saya untuk berani dan buktikan kemampuan diri.

SEMAKIN kerap berdepan persoalan jodoh, Ara Johari sedar, itulah lumrah yang bakal dihadapi hampir setiap wanita, terutama yang masih bujang saat usia semakin meningkat.

“Awalnya ada yang skeptikal apatah lagi industri kita sudah punya ramai penghibur hebat, tapi dari situ saya cabar diri untuk ‘jual’ bakat sehingga kini dapat raikan tahun ke-10 dalam dunia muzik,” tuturnya.

Cabar diri

Tidak hairan demi mendapatkan hasil berbeza, dia sanggup terbang balik hari ke Jakarta bagi merakamkan Terlalu Bodoh yang tentu saja membabitkan kos tinggi berbanding masuk studio di tanah air.

“Sudah semestinya kita ingin karya kita diterima serta tampil berbeza. Jadi kita kena berkorban masa, wang dan tenaga. Saya sedia tempuhi semua ini.

“Tiada sesalan walaupun beberapa minggu selepas itu saya ke sana semula merakamkan lagu itu lagi kerana kurang puas hati dengan penjiwaan nyanyian pertama. Sangat berbaloi,” tambahnya.

Menyingkap kembali circa zaman kecil katanya, kekerapan menyertai pertandingan membuatkannya turut digelar Ratu Karaoke, malah panggilan tersebut yang menyuntik semangatnya untuk mengejar impian.

“Saya memang ‘gila’ menyanyi sejak kecil sampai dipanggil Ratu Karaoke. Banyak pertandingan saya redah, dapatlah RM200, RM300 kalau menang. 

“Lagi pun siapa tak gembira dapat banggakan ibu bapa yang hantar kita sertai pertandingan.

“Pada usia 19 tahun saya sertai uji bakat AF13 di pusat beli-belah MidValley. Itu pula selepas didesak bapa yang kejutkan saya pada pukul 5 pagi kerana pendaftaran bermula 6 pagi. Sudah rezeki, saya layak sebagai peserta selepas saringan yang berakhir pukul 9 malam.

“Kemudian, saya mendapat tempat keempat dengan lagu solo Warkah Untukku ciptaan Laq, lirik Hang Nadim yang melayakkan saya bertanding pertama kali dalam Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL 32) pada 2018,” ujarnya.

Biar laluan awal sudah menjadi sejarah, Ara akui semua dilalui merupakan pelajaran berharga, sekali gus membuatkannya menjadi individu sarat empati selain lebih menghargai insan lain serta setiap sen yang diperoleh.

Bahkan dia turut berterima kasih atas sokongan ramai terutama peminatnya, Ara Skuad yang membantu mengukuhkan kerjayanya serta sentiasa relevan dengan idea baharu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN