fbpx
Tong Hong didakwa atas pertuduhan membunuh isteri dan anaknya di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!

[KEMAS KINI] Doktor muda didakwa bunuh isteri dan anak, lupus kuku palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Seorang doktor dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan termasuk membunuh isteri dan anak tunggal serta meluluskan bahan bukti di sebuah rumah di Bandar Dato’ Onn, di sini baru-baru ini.

Tertuduh, Chia Tong Hong, 33, yang bertugas sebagai pegawai perubatan di sebuah klinik swasta hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan tiga majistret.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab, Tong Hong didakwa membunuh isterinya, Phun Lai Ling, 37, dan menghalang polis menjalankan tugas dengan mengubah kedudukan anaknya, Aaden Chia Yee Heng dalam siasatan kes bunuh.

Sementara itu, di hadapan Majistret A. Shaarmini pula, Tong Hong didakwa membunuh anaknya yang berusia lima tahun.

Lelaki itu juga didakwa melupuskan kuku palsu isterinya dengan niat untuk mengelak daripada hukuman undang-undang di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Perjiranan 11/12, Bandar Dato’ Onn pada pukul 9.50 hingga 10.34 malam, 30 dan 31 Disember 2025.

Pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan sehingga 12 kali.

Tong Hong turut didakwa mengikut Seksyen 186 KK yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya serta Seksyen 201KK yang memperuntukkan  hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal, Nur Fatihah Mohd Nizam dan Siti Aishah Latif, manakala tertuduh diwakili peguam Bernard George.

Tiada sebarang jaminan dibenarkan dan tarikh 17 Mac ini ditetapkan bagi serahan dokumen sementara menunggu laporan bedah siasat, asid deoksiribonukleik (DNA), kimia, forensik dan toksikologi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN