PETALING JAYA – Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.7 peratus pada suku tahun keempat 2025, berdasarkan anggaran awalan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diterbitkan Jabatan Perangkaan hari ini.
Angka tersebut membawa kepada pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.9 peratus bagi keseluruhan tahun 2025, menghampiri pertumbuhan 5.1 peratus pada 2024.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan kukuh ekonomi pada suku tahun keempat dipacu oleh pertumbuhan berterusan sektor Perkhidmatan sebanyak 5.4 peratus (ST3 2025: lima peratus), dan sektor Pembuatan yang berkembang enam peratus (ST3 2025: 4.1 peratus).
“Pertumbuhan sektor Pembinaan kekal kukuh pada 11.9 peratus (ST3 2025: 11.8 peratus), manakala sektor Pertanian turut mencatatkan peningkatan ketara kepada 5.1 peratus berbanding pertumbuhanmarginal 0.4 peratus pada ST3 2025, terutamanya disebabkan oleh pengeluaran kelapa sawit lebih tinggi.
“Sementara itu, sektor Perlombongan dan pengkuarian mencatatkan peningkatan 1.1 peratus (ST3 2025: 9.7 peratus), berikutan pengeluaran yang lebih perlahan dalam minyak mentah dan kondensat,” katanya.
Tambah beliau, pertumbuhan ekonomi turut disokong oleh pengukuhan berterusan permintaan domestik.
Jelasnya, perkembangan aktiviti pelancongan semasa cuti umum dan cuti persekolahan, peningkatan perbelanjaan ke atas barangan berkaitan persekolahan susulan perubahan kalendar akademik 2026, perbelanjaan sempena perayaan Deepavali dan Krismas, keadaan pasaran buruh stabil dan aktiviti pelaburan berterusan menyumbang kepada pengukuhan perbelanjaan isi rumah.
“Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN telah menyaksikan berlangsungnya ratusan mesyuarat, persidangan dan pelbagai aktiviti utama antarabangsa yang berskala besar di bandar-bandar utama negara.
“Sementara itu, pilihanraya negeri Sabah juga berlangsung pada suku keempat 2025.
“Pelbagai peristiwa dan acara penting yang berlaku ini secara langsung membantu merancakkan aktiviti ekonomi pada suku ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














