PETALING JAYA – Seorang penghantar makanan mencuri perhatian ramai apabila dilihat membawa bayinya bersama ketika mencari rezeki.
Menerusi perkongsian video di Threads oleh @scha.sham, lelaki tersebut melakukan kerja penghantaran pada awal pagi sambil mengendong bayinya yang diletakkan dalam ‘baby carrier’ di bahagian hadapan.
“Weh abang ini buat kerja (bekerja) bawa bayi ke? Pagi-pagi dah banjir tengok kaki comel itu. Semoga Allah mudahkan segala urusan abang dan dimurahkan rezeki,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai dengan rata-rata mereka bersimpati dan berharap agar urusan lelaki tersebut dipermudah.
“Ini jiran lama saya dan masih berhubung sampai sekarang. Dia memang akan bawa anak untuk sementara waktu ini atas faktor kewangan. Isteri pun bekerja syif, jadi dia sahaja yang tiada halangan untuk bawa anak,” balas Amin.
“Kesiannya. Sekarang kos pengasuh atau taska tidak murah melainkan ada jiran-jiran yang sudi bantu jaga dengan upah murah sebab nak tolong,” kata Kak Mira.
“Sayunya hati tengok. Kita sendiri pakai ‘baby carrier’ pun kadang-kadang sakit badan, sakit pinggang. Apatah lagi sambil hantar makanan, panas lagi, belum cerita kalau hujan. Semoga dipermudah urusan abang ini,” komen Irdina. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














