HULU TERENGGANU – Tiga ekor burung bayan puling dan murai batu bernilai RM16,150 yang dibela tanpa permit oleh seorang lelaki dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) di Kampung Macang, Ajil di sini semalam.
Serbuan di rumah lelaki itu pada pukul 4.25 petang dilakukan bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Komander PPM Wilayah 3, Asisten Komisioner Zulafendi Hassan berkata, pemeriksaan di dalam rumah terbabit menemukan tiga ekor burung masing-masing dua dipercayai spesies bayan puling, manakala seekor lagi murai batu.
“Burung-burung terbabit merupakan spesies dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
“Pemeriksaan mendapati pemiliknya tidak memiliki permit memelihara burung terbabit daripada Perhilitan,” katanya di sini hari ini.
Zulafendi berkata, hasil soal siasat, seorang wanita berusia 41 tahun mengaku burung-burung tersebut dibela suaminya.
Beliau berkata, kes sedang disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
“Tindakan memiliki, menyimpan atau memperdagangkan hidupan liar tanpa kebenaran merupakan kesalahan serius,” katanya. – KOSMO! ONLINE














