PUTRAJAYA – Kegagalan memahami proses dan pengurusan kewangan dilaporkan menjadi antara punca berlakunya ketirisan serta kelompongan dalam perkhidmatan awam.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, susulan itu, Kementerian Kewangan diarahkan menjalankan kursus kesedaran berkaitan kewangan di kementerian dan jabatan bagi mengelakkan berlakunya ketirisan serta kelemahan dalam pengurusan kewangan.
“Kita sudah meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperbanyakkan kursus kesedaran terutama melibatkan kementerian.
“Semua Ketua Setiausaha perlu mengadakan sesi kesedaran di setiap peringkat pentadbiran dan Kementerian Kewangan perlu menjalankan kursus kesedaran.
“Ia kerana kadang-kadang (apabila) perkara kewangan itu tidak difahami dan menggalakkan kepada berlaku ketirisan dan kelompongan,” katanya pada pemberita selepas Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara (KSN) 2026, di sini, hari ini.
Pada masa sama, Shamsul Azri berkata, SPRM turut diarahkan memperbanyakkan kursus kesedaran berkaitan integriti di semua kementerian dan jabatan bagi meningkatkan kefahaman penjawat awam berhubung isu salah laku dalam perkhidmatan.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan aspek integriti sentiasa diberi keutamaan di setiap peringkat pentadbiran awam.
Shamsul Azri berkata, semua unit integriti di kementerian dan jabatan juga diminta memainkan peranan lebih aktif dalam memberi kesedaran bahawa isu integriti dalam perkhidmatan awam merupakan perkara utama yang tidak boleh dikompromi.
Katanya, kemerosotan integriti dalam kalangan penjawat awam perlu diperbaiki segera kerana ia boleh membawa kepada pelbagai kerosakan serta memberi kesan buruk terhadap penyampaian perkhidmatan awam. – KOSMO! ONLINE














