fbpx
HUKUM bagi wanita yang solat tanpa mengenakan telekung adalah sah sekiranya pakaian sedia adanya itu telah menutupi aurat. – Gambar hiasan

Sahkah solat wanita tanpa telekung?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ADAKAH sah solat seorang wanita sekiranya dia solat tanpa memakai telekung? 

JAWAPAN: PERSOALAN di atas berkait rapat dengan syarat sah solat yang banyak dibahaskan di dalam kitab-kitab fiqh. Antara syarat sah solat itu mestilah dengan menutup aurat, baik lelaki mahupun perempuan. Adapun pada kali ini, kita akan lebih fokus kepada aurat wanita di dalam solat.

Disebutkan di dalam kitab al-Majmu’ karangan al-Imam al-Nawawi Rahimahullah bahawa menutup aurat di dalam solat adalah wajib dengan ijma’ sama ada solat di hadapan hadirin, dan solat secara sendirian pada suatu pendapat yang sahih.

Adapun aurat wanita di dalam solat, para ulama mazhab Syafi’e menyebutkan ia adalah keseluruhan jasad wanita itu sendiri kecuali muka dan kedua-dua tapak tangan zahir dan batin iaitu dari hujung jari sehinggalah ke pergelangan tangan.

Ini berdasarkan firman Allah SWT: “Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya.” (An-Nur: 31)

Telah berkata Ibn Abbas RA dan ‘Aisyah RA bahawa yang dimaksudkan adalah muka dan kedua-dua tapak tangan.

Ia juga adalah aurat bagi wanita di luar solat ketika berhadapan dengan lelaki-lelaki ajanib baik yang Muslim ataupun bukan Islam iaitu keseluruhan tubuh badan kecuali muka dan kedua-dua tapak tangan.

Aisyah R.Anha pernah meriwayatkan bahawa Nabi SAW telah bersabda: “Tidak sah solat perempuan yang baligh kecuali menutup kepalanya.” Riwayat al-Tirmizi (277) dan beliau mengatakannya sebagai hadis hasan.

Hadis ini menunjukkan bahawa orang perempuan wajib menutup kepala ketika bersolat. Justeru, wajib menutup seluruh badannya adalah lebih utama.

Dalam sebuah hadis ada menceritakan bagaimana keadaannya para wanita di zaman Nabi SAW ketika keluar untuk solat sepertimana yang terdapat di dalam hadis ‘Aisyah R.Anha: “Rasulullah SAW bersolat subuh, beberapa orang wanita yang berpakaian menutup seluruh tubuh juga bersolat bersama-sama Baginda. Selepas itu, mereka balik ke rumah masing-masing tanpa dikenali oleh sesiapa pun.” (Riwayat al-Bukhari, 365)

 Hadis ini secara tidak langsung menunjukkan kepada kita akan keadaan berpakaian para wanita di zaman Rasulullah SAW ketika ingin menunaikan solat dan begitulah juga keadaannya ketika selesai solat, pulang ke rumah tanpa dikenali oleh sesiapa pun.

Berdasarkan hujah-hujah yang telah diberikan, hukum bagi wanita yang solat tanpa mengenakan telekung adalah sah sekiranya pakaian sedia adanya itu telah menutupi aurat.

Tanpa menafikan bahawa penggunaan telekung juga menepati kaedah penutupan aurat secara syarie. Namun sekiranya terdapat wanita yang pakaian sedia adanya telah cukup syarat penutupan aurat, maka pakaiannya sedia ada itu boleh di bawa solat meskipun tanpa mengenakan telekung.

Permasalahan mula timbul apabila menganggap bahawa telekung merupakan syarat sah solat. 

Sedangkan yang menjadikan solat itu sah sebenarnya adalah dengan menutup aurat.

Perlu diingatkan juga bahawa yang dimaksudkan dengan menutup aurat itu adalah dengan melabuhkan tudung sehingga menutupi bahagian dada, pakaian yang longgar tidak menampakkan bentuk tubuh dan tidak nipis sehingga boleh menampakkan warna kulit serta labuh hingga boleh menutupi bahagian kaki. 

Ketahuilah juga bahawa aurat wanita di dalam solat itu adalah auratnya juga ketika di luar solat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN