fbpx
Lori dengan muatan tangki yang diisi dengan diesel ditemui di lokasi serbuan di Kampung Kepayang, Ipoh semalam. - Foto IHSAN KPDN

Sindiket pemandu lori seleweng diesel ditumpaskan KPDN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Sebanyak 1,400 liter diesel yang diseleweng disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sarah Hidup (KPDN) Perak dalam satu serbuan di Kampung Kepayang di Ipoh semalam.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, rampasan itu dilakukan susulan satu serbuan yang dilakukan pihaknya di lokasi terbabit sekitar pukul 9 malam.

Beliau berkata, serbuan dilaksanakan hasil maklumat risikan dan pemantauan selama dua minggu oleh penguat kuasa KPDN Perak ke atas aktiviti membanteras penyelewengan dan ketirisan barang kawalan di Ipoh.
“Modus operandi sindiket ini dikenal pasti bergerak aktif pada waktu lewat malam bagi mengelakkan daripada dikesan oleh pihak berkuasa.

“Bekalan diesel tersebut dipercayai diperoleh daripada stesen-stesen minyak di kawasan berhampiran, selain melibatkan kerjasama pemandu lori yang tidak amanah yang menjual lebihan minyak kepada sindiket ini secara haram,” katanya di Ipoh hari ini.

Kamalludin berkata, minyak berkenaan kemudiannya dipindahkan terus ke dalam tangki tambahan yang telah diubah suai pada kenderaan sebelum diagihkan kepada pembeli di pasaran gelap.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan memperoleh bekalan diesel pada harga anggaran RM1.50 seliter.

“Bekalan tersebut kemudiannya dijual kepada pihak industri, khususnya kuari di sekitar Simpang Pulai, dengan harga sekitar RM2 seliter.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, pasukan serbuan telah menjumpai sebanyak 1,400 liter cecair yang disyaki minyak diesel di dalam tangki minyak tambahan berkapasiti 2,000 liter,” katanya.

Sehubungan itu, Kamalludin berkata, satu tindakan kes telah diambil dengan menyita cecair disyaki minyak diesel sebanyak 1,400 liter, sebuah lori tiga tan dan dua buah tangki IBC beserta pam dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM35,110.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual minyak diesel tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN