PETALING JAYA – Susulan kemalangan yang mengakibatkan kecederaan wajah dan tengkorak, pelakon Ezzanie Jasny terpaksa menangguhkan percutian ke London yang dijadualkan dalam tempoh terdekat.
Begitupun, Ezzanie atau nama lengkapnya Nur Ezzanie Sherazade Jasny, 26, berlapang dada dengan situasi yang menimpa, selain percaya ada hikmah di sebalik insiden tersebut.
“Saya sepatutnya pergi ke London untuk percutian panjang selama sebulan, tetapi mungkin ada hikmah di sebalik kejadian ini.
“Mungkin kalau kemalangan ini tidak berlaku sesuatu yang lebih buruk boleh terjadi semasa saya berada di sana. Jadi buat masa ini, percutian saya ke London terpaksa ditangguhkan.
“Memang sedih meneruskan hidup dan melepaskan sesuatu yang sangat saya nantikan, namun saya percaya pada perancangan dan ketentuan Allah,” katanya dalam hantaran di laman sosial.
Pada perkongsian sama, pelakon drama Sayang Tak Dikenang itu juga bersyukur terselamat daripada kemalangan jalan raya terbabit meskipun menerima rawatan di zon kritikal sepanjang malam.
Katanya, dalam kejadian yang turut membabitkan ibu bapanya, dia mengalami kecederaan paling teruk iaitu lebam pada bahagian wajah serta pendarahan tengkorak.
“Saya duduk di bahagian belakang, betul-betul di belakang pemandu. Saya sendiri tidak pasti sama ada kepala saya terhantuk pada tingkap sebelah kanan atau tercampak ke arah tali pinggang keledar,” katanya.
Akibat hentakan kuat, dia ditempatkan di zon merah dan menerima rawatan rapi sepanjang malam tetapi kini tahap kesihatannya semakin baik.
“Alhamdulillah, saya sudah sedar sepenuhnya, boleh berjalan dan kaki juga berfungsi dengan baik.
“Cuka bengkak di muka masih ada. Saya juga mengalami pendarahan di bahagian kepala,” katanya
Beberapa hari lalu, Ezzanie memaklumkan terbabit dalam kemalangan jalan raya bersama ibu bapanya. – KOSMO! ONLINE
.














