JOHOR BAHRU – Seorang rakyat Malaysia maut selepas motosikal yang ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah trak pikap di daerah Chaiya, Thailand pagi semalam.
Menurut laporan Balai Polis Chaiya, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.15 pagi waktu tempatan apabila trak pikap jenis Toyota dipandu penduduk tempatan dilaporkan membuat pusingan U sebelum merempuh motosikal mangsa.
Akibat perlanggaran itu, Izzat Izzuddin Onn cedera parah dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Chaiya.
Difahamkan, siasatan awal mendapati pemandu trak pikap terbabit melarikan diri dari tempat kejadian, namun seorang penduduk yang menyaksikan insiden itu segera membuat laporan polis.
Bertindak atas maklumat orang awam, pihak polis berjaya mengekori dan memberkas pemandu terbabit tidak lama kemudian.
Polis Thailand memaklumkan pemandu tersebut akan didakwa di mahkamah atas kesalahan menyebabkan kematian akibat kemalangan jalan raya.
Sementara itu, waris mangsa yang berada di Johor dimaklumkan mengenai kejadian tragis tersebut pada tengah hari sebelum bergegas ke negara jiran bagi menguruskan urusan dokumentasi dan membawa pulang jenazah Izzat.
Dengan bantuan agensi pengurusan jenazah, segala urusan melibatkan sijil kematian, hospital dan pihak konsulat diselesaikan sebelum jenazah lelaki itu dibawa pulang ke Malaysia menerusi Sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah. – KOSMO! ONLINE














