fbpx
Gambar hiasan

RM15 bilion peruntukan untuk STR, Sara – MoF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kerajaan memperuntukkan keseluruhan RM15 bilion bagi pelaksanaan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) tahun 2026, sekali gus menjadikannya peruntukan tertinggi dalam sejarah bantuan Kerajaan Persekutuan.

Kementerian Kewangan (MoF) berkata, daripada jumlah itu, RM1.1 bilion disalurkan menerusi STR Fasa 1 yang akan mula dibayar bermula Selasa depan, melibatkan 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tanpa pasangan.

Menurutnya, penerima layak menerima bantuan antara RM100 hingga RM500 bergantung kepada kategori kelayakan masing-masing.

“Selaras dengan usaha Kerajaan Madani untuk memastikan inisiatif Kerajaan dapat mengurangkan beban kos sara hidup secara lebih berkesan, kerajaan telah menyusun semula pemberian STR dan Sara bagi tahun 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MoF menjelaskan, menerusi penambahbaikan itu, lebih lapan juta rakyat layak menerima bantuan Sara secara bulanan, termasuk 400,000 golongan miskin dan miskin tegar berdasarkan pangkalan data eKasih, menjadikan Sara sebagai bantuan asas yang menyediakan sokongan berterusan kepada masyarakat.

Tambahnya, STR pula diteruskan sebagai bantuan tambahan secara suku tahunan disasarkan kepada isi rumah serta warga emas tiada pasangan berpendapatan RM5,000 dan ke bawah sebulan, termasuk golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar dengan eKasih.

“Pendekatan bersepadu ini memastikan bantuan bersasar dapat disalurkan secara lebih teratur, stabil dan berkesan, di samping memberi ruang kewangan tambahan pada waktu keperluan puncak seperti musim perayaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerangka Ekonomi Madani mendambakan lantai kehidupan rakyat dinaikkan agar
semua mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah.

“Apakala rakyat terbela dan keperluan asas dipenuhi, nescaya siling ekonomi dapat kita naikkan bersama dengan lebih bermaya dan lestari,” katanya.

Dalam pada itu, MoF memaklumkan permohonan baharu dan rayuan STR dibuka sepanjang tahun melalui portal rasmi https://bantuantunai.hasil.gov.my bagi mengurangkan risiko keciciran.

Bagi status pengkreditan serta soalan lazim (FAQ) berkaitan Sara boleh disemak menerusi portal rasmi https://sara.gov.my. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI