SUNGAI PETANI – Penduduk Taman Ria di sini gempar apabila seorang lelaki dipercayai penagih dadah mengamuk dengan bersenjatakan senjata tajam di kawasan perumahan itu kira-kira pukul 10.50 pagi tadi.
Lelaki berkenaan bertindak agresif merosakkan kereta, motosikal dan pasu bunga penduduk menyebabkan penduduk bertindak memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, anggota polis bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan daripada penduduk di situ.
“Suspek ditahan berdekatan lokasi kejadian pada pukul 11.30 pagi dan tiada senjata ditemui padanya. Kerugian penduduk kira-kira RM5,000. Pemeriksaan mendapati lelaki itu memiliki rekod lampau di bawah Seksyen 395, 379, 427, 457 Kanun Keseksaan selain penyalahgunaan dadah,” katanya di sini hari ini.
Hanyan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. – KOSMO! ONLINE














