KOTA TINGGI – Insiden lembu dibaham harimau di Felda Penggeli Timur terus menghantui penduduk di daerah ini apabila terkini penduduk mendakwa mendengar bunyi ngauman harimau di Bandar Tenggara pula.
Ketua Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Felda Penggeli Timur, Fauzi Mokhtar berkata, dia dimaklumkan oleh penduduk suara ngauman itu kedengaran kira-kira pukul 7.30 petang semalam.
Katanya, sejak kejadian lembu yang dibaham harimau menerima pelbagai reaksi dari penduduk yang rata-rata bimbang selagi haiwan itu tidak ditangkap.
“Tidak dinafikan penduduk bimbang dengan keadaan yang berlaku bahkan ada diantara mereka yang tidak berani ke kebun yang berhampiran kawasan kejadian lembu dibaham itu kerana takut terserempak dengan haiwan liar itu.
“Sejak kejadian itu ada macam-macam cerita, ada penduduk yang mendakwa melihat kesan tapak harimau terkini di kawasan berhampiran tanah perkuburan Islam di sini. Terbaru semalam petang penduduk di Bandar Tenggara mendakwa mendengar bunyi ngauman harimau pada waktu maghrib,”katanya hari ini.
Katanya, dia dimaklumkan pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) akan memasang perangkap malam ini atau esok.
Menurutnya, sebelum ini pihak Perhilitan telah hadir ke kampung tersebut untuk membuat pemantauan dan memasang kamera di kawasan tertentu bagi mengesan pergerakan haiwan itu.
“Semasa kami bersama pihak Perhilitan melakukan pemantauan di kawasan kebun, kami turut menemui kesan lama tapak kaki harimau 200 hingga 300 meter dari kawasan lembu dibaham itu. Dipercayai mungkin harimau itu telah lama berada di situ sebelum menjadikan lembu penduduk sebagai mangsa.
“Orang kampung memang risau dengan keselamatan masing-masing. Kita harap harimau ini akan segera dapat ditangkap,” katanya lagi.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan warga Felda Penggeli Timur, di sini gempar apabila menjumpai bangkai lembu dipercayai dibaham harimau kira-kira satu kilometer dari kawasan perumahan penduduk.-KOSMO! ONLINE














