fbpx
Anggota polis membawa Abdin Syakirin (dua dari kiri) dan Amirul Hakimi untuk didakwa atas pertuduhan merogol seorang remaja di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini.

Dua rakan sekampung didakwa noda seorang remaja 15 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Dua rakan sekampung didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini masing-masing atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di kawasan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) dekat Kuala Krai kira-kira dua minggu lalu.

Tertuduh, Amirul Hakimi Hashim, 25, yang bekerja sebagai buruh mengaku bersalah manakala rakannya, Abdin Syakirin Hassan, 31, yang merupakan seorang nelayan bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan, Abdin Syakirin didakwa merogol seorang remaja berusia 15 tahun sebulan di tepi jalan RPT Batu Mengkebang, Blok Pasir Putih dekat Kuala Krai kira-kira pukul 3.30 petang pada 3 Januari lalu.

Amirul Hakimi pula dituduh melakukan perbuatan sama terhadap mangsa yang sama di sebuah rumah di RPT Batu Mengkebang, Blok Pasir Putih dekat Kuala Krai kira-kira pukul 3.30 pada 4 Januari lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mazlan manakala peguam, Wan Amani Wan Azimin mewakili Abdin Syakirin dan Amirul Hakimi tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Siti Hajar tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan yang dihadapi kedua-dua tertuduh adalah serius kerana merogol seorang remaja.

Wan Amani dalam rayuannya memohon jaminan dengan alasan Abdin Syakirin hanya bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan tidak menentu selain perlu menjaga ibu bapa yang uzur dan tiada risiko untuk tertuduh melarikan diri.

Mahkamah kemudian membenarkan Abdin Syakirin diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 15 Februari depan untuk serahan dokumen.

Mahkamah turut menetapkan 28 Januari ini untuk bacaan fakta kes dan prosiding jatuh hukum bagi pengakuan bersalah Amirul Hakimi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI