PUCHONG – Susulan kontroversi lagu Baby Shima, Masuk Lagi yang didakwa berbaur lucah, penyanyi Amelina menegaskan lirik memainkan peranan penting dalam sesebuah karya kerana boleh mengundang tafsiran berbeza andai salah pemilihan kata.
Menurut Amelina atau nama sebenarnya Norazlina Amir Sharipuddin, 52, lagu ibarat sebuah filem yang perlu menyampaikan cerita lengkap dalam tempoh singkat, sekali gus memerlukan pemilihan perkataan yang tepat dan teliti.
“Penulisan lirik sebenarnya sangat penting. Lagu ini umpama filem, ada sejam lebih untuk cerita sampai habis, tapi lagu pula mempunyai empat ke lima minit saja.
“Dulu pun banyak lagu ‘double meaning’ tapi muziknya perlahan, jadi nampak macam lagu percintaan atau ketuhanan yang diselitkan unsur cinta sesama insan.
“Tapi apabila melibatkan lagu rancak, kalau salah sikit lirik, dia akan jadi ‘double meaning’ yang tahap atas,” katanya kepada Kosmo! Online, baru-baru ini.
Mengulas mengenai lagu Masuk Lagi, Amelina berpendapat karya tersebut sebenarnya membawa maksud metafora berkaitan percintaan dan bukannya berunsur lucah seperti didakwa sesetengah pihak.
“Lagu Baby Shima ini Kak Long (panggilan Amelina) rasa dia menceritakan kisah arah ke rumah dia atau bagi semangat ‘masuk lagi cepat, dalam lagi’. Maksudnya lebih mendalam dalam percintaan.
“Tapi apabila ada lirik ‘mata hitamku seperti hilang’, orang yang berfikiran satu lorong saja akan rasa benda tu sangat lucah. Kak Long sendiri pun terkejut awalnya.
“Tapi bila diteliti, lagu itu menceritakan metafora yang mungkin terlalu menyeramkan bagi sesetengah orang,” jelasnya.
Tambah pelantun lagu Memori Daun Pisang itu, sesebuah lagu tidak salah sekiranya penyampaian penyanyi bersesuaian dengan maksud sebenar karya tersebut.
“Lagu itu tak salah kalau Baby Shima kena dengan cara penyampaiannya, lagu itu akan jadi comel.
“Tapi disebabkan Baby dalam manja, dia pun tak tahu macam mana nak corakkan lagu itu sama ada nak ke arah mengghairahkan atau comel.
“Penulis lirik yang bertanggungjawab, penyanyi cuma menceritakan apa yang dalam lagu itu. Orang akan dengar bahagian yang dicaci saja,” ujarnya.
Sebelum ini, lagu ciptaan Harry Khalifah itu mencetuskan reaksi kurang senang dalam kalangan netizen apabila liriknya didakwa mengandungi unsur lucah. – KOSMO! ONLINE














