fbpx
Lima pegawai dan anggota termasuk seorang pesara polis selama lima hari bagi membantu siasatan kes rasuah.

Empat ASP, anggota dan pesara sarjan direman kes rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menahan lima pegawai dan anggota serta seorang pesara polis bagi membantu siasatan kes rasuah melindungi perniagaan haram negeri ini.

Perintah reman selama lima hari sehingga 18 Januari ini terhadap kesemua suspek dibenarkan Majistret Shyahirah Abdul Salim selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret di sini pagi tadi untuk siasatan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Menurut sumber, mereka yang direman terdiri daripada empat pegawai berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dan masing-masing seorang anggota dan pesara berpangkat Sarjan.

Katanya, suspek yang berusia dalam lingkungan 40 hingga 60-an disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM150,000 sejak tahun 2016 hingga 2021.

”Wang rasuah itu sebagai balasan supaya tidak mengambil tindakan ke atas dua pemilik syarikat yang melakukan kesalahan seperti pusat hiburan, pusat urut dan judi haram,” katanya di sini hari ini.

Sumber berkata, mereka ditahan pada pukul 11 pagi hingga 5 petang semalam selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang.

”Mereka disyaki meminta dan menerima rasuah secara bulanan sebanyak RM500 hingga RM2,000. Rasuah itu dipercayai dipindahkan melalui beberapa transaksi dalam talian ke akaun pihak ketiga bagi menyembunyikan aliran wang tersebut,” katanya hari ini.

Dua suspek berpangkat ASP masing-masing diwakili peguam, K. Mahendran dan A. Mahesh, manakala suspek lain diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Penahanan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan suspek yang diberkas setakat ini tujuh orang selepas menahan seorang ASP bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah sebanyak RM27,000.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI