fbpx
SA KOW didenda RM9,000 oleh Mahkamah Majistret Kulai hari ini selepas mengaku salah menutup sebahagian nombor plat untuk mengisi minyak petrol RON95, 2 Januari lalu. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI/KOSMO!

[VIDEO] Atuk didenda RM9,000 ‘salotape’ nombor plat isi RON95

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KULAI – Seorang warga emas didenda sebanyak RM9,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan Singapura yang diubah suai dengan menggunakan ‘salotape’ untuk mengisi petrol RON95 di sebuah stesen minyak di sini, baru-baru ini.

Majistret R. Salini membuat keputusan itu selepas Long Sa Kow, 64, yang juga Penduduk Tetap (PR) Singapura mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Inggeris oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Sa Kow selaku orang kena saman (OKS) didakwa sebagai pemandu Volkswagen Jetta mempamerkan nombor pendaftaran yang bukan milik kenderaan itu di sebuah stesen minyak pada pukul 10.30 malam, 2 Januari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) yang boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama. Sabit kesalahan, OKS boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Thiviya, manakala OKS diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Sharmaine Fairuz Mohd. Zulkifli.

Dalam rayuannya, Sharmaine memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan OKS sudah bersara dan tiada pendapatan tetap selain menanggung isteri serta dua anak yang masih belajar.

Thiviya bagaimanapun memberikan hujah pemberat supaya hukuman dikenakan ke atas OKS sebagai pencegahan dan pengajaran kepada lelaki itu agar tidak mengulangi kesalahan tersebut.

“Mengubah nombor plat kenderaan demi (untuk) mengisi RON95 yang diberikan untuk rakyat Malaysia merupakan satu kesalahan. Hukuman yang berat perlu dilaksanakan demi menjaga kepentingan awam (dan) tidak mengulangi kesalahan ini,” katanya.

Majisret menjatuhkan hukuman denda RM9,000 atau penjara sembilan bulan jika gagal bayar. OKS membayar denda tersebut.

Mengikut fakta kes, pada hari tersebut, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai mengesan satu video di Facebook yang memaparkan sebuah Volkswagen Jetta berwarna perak sedang mengisi minyak RON95 di sebuah stesen minyak di daerah ini.

Difahamkan, hasil siasatan mendapati, OKS sebagai pemandu kenderaan yang sepatutnya bernombor pendaftaran SLJ 8967 M menutup huruf S dan M pada nombor pendaftaran itu bagi mengisi minyak subsidi RON95.

Hasil pemeriksaan pada nombor enjin dan casis mendapati kenderaan itu bernombor pendaftaran SLJ 8967 M, bukannya LJ 8967.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI