PETALING JAYA – Seorang penuntut lelaki yang terlibat dalam insiden letupan gas di kawasan penyelenggaraan sebuah universiti swasta di Bukit Damansara, di sini, Isnin lalu dilaporkan koma.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, mangsa berusia 19 tahun mengalami kecederaan serius melibatkan pendarahan dalam otak selain retak pada tengkorak kepala.
Menurutnya, mangsa masih belum sedarkan diri dan berada di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Dua lagi mangsa yang masih menerima rawatan ialah penyelia kontraktor berusia 54 tahun dan pekerja kantin universiti tersebut, warga Indonesia berusia 22 tahun.
“Penyelia kontraktor berada dalam keadaan separuh sedar dengan kecederaan serius termasuk serpihan besi di dalam badannya dan sedang menunggu pembedahan di HKL.
“Sementara itu, pekerja kantin pula dirawat di Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, enam lagi mangsa yang turut cedera dalam kejadian itu telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Kosmo! sebelum ini melaporkan dalam kejadian pukul 11.40 pagi itu, berlaku letupan melibatkan gas sistem penghawa dingin yang mengakibatkan seorang lelaki maut. Mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di HKL, manakala sembilan individu lain cedera.
Si mati yang berusia 24 tahun merupakan penuntut universiti swasta dan sedang menjalani latihan industri. – KOSMO! ONLINE














