KOTA BHARU – Kemarau kemenangan Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) akhirnya menemui titik noktah selepas menewaskan naib juara Piala FA, Sabah FC 3-2 di Stadium Sultan Muhammad IV, sebentar tadi.
The Rhinos yang baharu saja kehilangan khidmat tonggak tengah, Stuart Wilkin yang menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) gagal memulakan perlawanan dengan baik apabila bolos seawal minit keenam.
Jaringan awal Alexandre Yeoule memastikan permulaan positif buat skuad kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli namun selang tiga minit selepas itu, Sabah FC segera menyerlahkan reaksi balas apabila kembali menyamakan kedudukan menerusi Darren Lok.
Sebaik aksi memasuki minit ke-16, kedudukan tuan rumah makin selesa apabila Simen Lyngbo meledak gol kedua dan tujuh minit selepas itu, giliran Asraf Aliffuddin Yasin merobek gawang pelawat untuk beri kelebihan dua gol buat KTRW FC hingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, aksi agak seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan namun sering digagalkan oleh penyudah yang lebih baik.
Bagaimanapun, lima minit selepas aksi memasuki masa tambahan, Sabah FC memperoleh satu lagi gol saguhati menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Ajdin Mujagic. – KOSMO! ONLINE














