MELAKA – Sebuah hotel di negeri ini yang didakwa mempromosikan konsep ‘gay friendly’ ditinggalkan kosong ketika Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) bersama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menyerbu premis itu, hari ini.
Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Sapiah Haron berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 11 pagi itu, hasil pemeriksaan mendapati tiada penjaga premis mahupun pelanggan berada di lokasi, namun keadaan salah sebuah bilik seperti baru digunakan.
“Pengurus hotel serta pekerja yang dihubungi didapati mengelak daripada hadir ke premis ketika serbuan dijalankan dan pemeriksaan lanjut oleh JAIM turut menemui bekas kondom yang telah digunakan di dalam tong sampah salah sebuah bilik hotel berkenaan.
“Susulan pemeriksaan tersebut, lesen premis telah dibawa oleh Jabatan Pelesenan (JPL) MPHTJ bagi tujuan tindakan lanjut dan satu notis telah dikeluarkan bagi mengarahkan pemilik hadir ke pejabat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, hasil pemeriksaan ke atas 37 bilik mendapati tiada kesalahan syariah dikesan secara langsung di bawah Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.
“Bagaimanapun, pemeriksaan di sebuah bilik yang tidak berkunci mendapati katil, selimut dan bantal berselerak seperti baru digunakan, selain dua helai tuala pada penyangkut serta penemuan dua kotak kondom di dalam tong sampah.
“Premis itu telah ditutup serta-merta ketika serbuan dilakukan hari ini sehingga pemiliknya tampil memberikan penjelasan kepada pihak MPHTJ,” katanya.
Katanya, operasi penguatkuasaan itu dijalankan mengikut Seksyen 56 (Liwat), Seksyen 57 (Percubaan Liwat) dan Seksyen 58 (Perhubungan Jenis Luar Tabii) Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.
Terdahulu, tular satu hantaran di media sosial Thread mendakwa kewujudan hotel berkenaan yang mempromosikan konsep ‘gay friendly’, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen.
Hantaran itu dimuat naik oleh pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung, yang membangkitkan persoalan mengenai trend penjenamaan perniagaan menggunakan label ‘friendly’ seperti pet-friendly, family-friendly, Muslim-friendly dan kini gay-friendly.
“Agak kreatif penjenamaan. Label ‘Muslim friendly’ pun boleh dijadikan bisnes, apatah lagi ‘gay friendly’. Lepas ini apa pula idea kreatif akan muncul? ‘Babi friendly’ atau ‘LGBT friendly’?” tulisnya secara sinis.
Beliau turut menzahirkan rasa terkejut terhadap penggunaan istilah tersebut secara terbuka dalam konteks perniagaan hospitaliti. – KOSMO! ONLINE














