MELAKA – Seorang pekerja kilang maut, manakala rakannya cedera dalam kejadian letupan melibatkan kerja-kerja kimpalan di sebuah kilang di Taman Perindustrian Bukit Rambai, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, mangsa yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi selepas melecur kira-kira 90 peratus.
Rakannya, lelaki etnik Kadazan berusia 32 tahun mengalami kecederaan melecur kira-kira lima peratus dan dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.32 tengah hari sebelum sepasukan 11 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi pada pukul 1.38 tengah hari, didapati berlaku letupan melibatkan alat kimpalan jenis Cranking Unit (CRU) ketika kerja-kerja kimpalan sedang dijalankan di dalam kawasan kilang berkenaan.
“Seorang mangsa lelaki telah melecur 90 peratus dan disahkan meninggal dunia disahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan di tempat kejadian, manakala seorang lagi pekerja melecur lima peratus,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, insiden itu bagaimanapun tidak menyebabkan kebakaran kilang dan kedua-dua mangsa terbabit juga mengalami kecederaan akibat terkesan dengan letupan tersebut.
Katanya, operasi berjaya dikawal pada pukul 2.27 petang dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) hadir ke lokasi bagi pemantauan dan kawalan gas-gas beracun.
“Komander Hazmat lapor bacaan pada pengesan gas rendah dan selamat. Operasi tamat pada pukul 4.48 petang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














