KUALA PILAH – Seorang pekebun durian bumiputera musang king di Inas, di sini meminta kerajaan melakukan sesuatu agar raja buah bergred premium itu tidak terus mengalami kejatuhan harga seperti sekarang.
Norman Kassim, 55, berkata, jika keadaan terus berlarutan pekebun sepertinya bakal mengalami kerugian besar sedangkan modal dikeluarkan untuk penanaman durian jenis itu tinggi.
Katanya, dia sudah mengeluarkan modal kira-kira RM200,000 sejak 2020 ekoran menyahut saranan kerajaan agar golongan bumiputera menanam musang king pada skala komersial.
Ujarnya, langkah pertamanya membeli tanah seluas hampir satu hektar pada harga RM80,000 di Kampung Changgang, Inas bagi menanam 100 batang pokok durian premium.
“Daripada jumlah itu, 65 daripadanya ialah musang king, lima duri hitam (black thorn), lima tekka, lima IOI dan selebihnya pelbagai jenis durian.
“Kos baja serta foliar (semburan daun) dan gaji seorang pekerja antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan.
“Ini belum kos lain dan keperluan baja juga mengikut saiz pokok, selain harga baja sering naik, terkini RM220 bagi satu guni 50 kilogram.
“Dalam setahun dianggarkan sekitar RM50,000 modal diperlukan bagi memastikan pokok durian premium terjaga dengan baik,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Katanya, tindakan segera harus diambil kerajaan bagi memastikan pelaburan besar yang dibuat pekebun durian premium ini akan mendatangkan hasil seperti diuar-uarkan sebelum ini.
Sebelum ini dikatakan sebatang pokok musang king dapat menghasilkan sekitar 50 biji dan boleh memberi pulangan sekitar RM4,000 sedangkan harganya agak rendah di pasaran masa ini.
Katanya, senario itu secara tidak langsung ‘mematikan’ semangat belia khususnya bumiputera untuk menyahut saranan kerajaan menceburkan diri dalam pertanian khususnya penanaman durian.














