HULU SELANGOR – Kerajaan Selangor perlu memberi jaminan bertulis bahawa pemindahan ladang ternakan babi dari Kuala Langat dan Sepang ke Bukit Tagar di sini, tidak akan mengakibatkan pencemaran najis, bau busuk atau menjejaskan sumber air sungai.
Itu desakan penduduk yang tinggal berhampiran Bukit Tagar ketika ditemui Kosmo! di Felda Sungai Tengi Selatan, Felda Soeharto dan Ladang Nigel Gardner semalam.
Mereka bimbang kesan jangka panjang ternakan babi berskala besar terhadap alam sekitar, kesihatan awam dan kualiti hidup komuniti setempat sekiranya sistem pengurusan sisa gagal dikawal dengan berkesan.
Seorang penduduk, T. Thepenraj, 25, berkata, dia yang membesar di Ladang Nigel Gardner sejak kecil tidak mahu pengalaman berdepan bau busuk dan sera-ngan lalat dari ladang ternakan ayam berulang lagi.
“Ladang ayam pun sudah cukup kuat mengeluarkan bau walaupun ada sistem terutama apabila cuaca panas dengan angin kuat. Lalat pun banyak.
“Kalau ladang babi pula dibuka, kami risau air kotor akan mengalir masuk ke Sungai Selangor. Apabila sungai tercemar, penyakit pun boleh merebak,” katanya.
Penduduk Felda Sungai Tengi Selatan, Muhammad Sahar Romaizi, 28, berkata, komuniti di situ secara terbuka menyatakan bantahan kerana cadangan itu disifatkan tidak selari dengan identiti dan sensitiviti penduduk setempat.
Katanya, kawasan berkenaan didiami hampir majoriti masyarakat Melayu selain dikelilingi penempatan lama, kawasan Felda dan ladang pertanian.
“Sejak kecil saya tinggal di sini, tak pernah dalam sejarah kawasan berhampiran felda ada ternakan babi. Di kampung kami, lebih 99 peratus penduduk Melayu dan melebihi 200 buah keluarga.
“Isu ini telah kecoh sejak semalam (kelmarin). Ramai yang mendakwa pencemaran bukan sekadar bau, tetapi risiko penyakit lain. Bagi kami orang Islam, ia sangat sensitif.
“Beri satu jaminan kepada kami yang ladang babi ini tidak akan menyebabkan pencemaran,” katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat pelupusan.
Penduduk Felda Soeharto, Muhammad Firdaus Azmi, 38, pula terkejut apabila dimaklumkan kawasan berhampiran tempat tinggalnya dikenal pasti sebagai ladang berpusat moden ternakan babi.
“Saya dan keluarga sudah tinggal di sini sejak awal 1980-an. Apabila dengar berita ini, memang terkejut,” katanya.
Justeru, rata-rata penduduk berharap kerajaan negeri dapat segera memberi penjelasan terperinci mengenai cadangan projek ternakan babi itu.
Selain itu, proses perbincangan dengan penduduk juga penting bagi memastikan sebarang keputusan dibuat tanpa menjejaskan kesejahteraan komuniti setempat.
Semalam Kosmo! melaporkan, kesemua 115 ladang ternakan babi di Kuala Langat dan Sepang, melibatkan 100,000 ekor babi akan ditutup dan dipindahkan ke ladang berpusat moden di Bukit Tagar secara berperingkat.
Operasi pemindahan ternakan babi sepenuhnya ke sebuah kawasan ladang sawit seluas 202 hektar itu akan disegerakan tahun ini.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir. Izham Hashim dilaporkan berkata, Bukit Tagar dikenal pasti satu-satunya lokasi baharu bagi ternakan itu di Selangor dengan syarat ketat termasuk zon penampan luas, sistem tertutup dan kaedah zero discharge.
Lokasi di tanah milik persendirian itu terletak di kawasan jauh dari lokaliti penduduk dan sungai.















