PETALING JAYA – Tabiat meletupkan jari yang sering ditegur menjadi antara punca sakit sendi dan arthritis sering dianggap sebagai satu tabiat buruk.
Menerusi perkongsian oleh Public Health Malaysia (PHM), bunyi yang terhasil ketika jari ditegangkan atau ditarik bukan berpunca daripada tulang bergesel antara satu sama lain, sebaliknya hasil letupan buih gas nitrogen dalam cecair pelincir sendi dikenali sebagai ‘synovial fluid’.
“Di celah sendi jari kita ada cecair pelincir (synovial fluid). Apabila anda tarik atau tegangkan jari, tekanan dalam sendi berubah, menyebabkan gas dalam cecair itu membentuk buih dan meletup.
“Bunyi dia memang puas, Krup…krap…pop!,” kata PHM.
PHM turut menjelaskan mitos berkenaan menggunakan contoh eksperimen yang dijalankan oleh seorang doktor dari Amerika Syarikat, Dr. Donald Unger yang meletupkan jarinya selama 60 tahun.
“Selama 60 tahun, dia hanya meletupkan jari tangan kiri setiap hati dan hasilnya tiada beza antara tangan yang diletupkan dengan tidak. Tiada tanda arthritis. Mitos orang tua-tua akhirnya terbukti salah,” katanya.
Bagaimanapun, PHM menasihatkan agar tabiat itu tidak dilakukan secara berlebihan atau kasar kerana terdapat kajian yang menunjukkan risiko penurunan kekuatan genggaman tangan serta kecederaan pada ligamen.
“Meletupkan jari untuk melegakan lenguh tidak menjadi masalah, namun memulas atau menarik secara keterlaluan boleh mengundang kecederaan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE














