fbpx
Pihak berkuasa memeriksa lori yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyelewengan diesel dan minyak masak di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Padang Besar, semalam.

Premis seleweng diesel, minyak masak di Padang Besar diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANGAR – Kegiatan sebuah premis di Kawasan Perindustrian Padang Besar, dekat sini yang disyaki menjual diesel kepada kenderaan asing dan membuat pembungkusan minyak masak dalam bahasa Thai untuk dieksport ke negara jiran terbongkar dalam serbuan semalam.

Serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu dilakukan oleh pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Putrajaya dan negeri bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai agensi peneraju dalam operasi tersebut.

Pengarah Pejabat KPDN Perlis, Rohaida Hassan berkata, serbuan dilakukan hasil risikan selama dua bulan oleh pihak polis.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat tiga lori jenis penggerak utama (prime mover) berada berhampiran pam dan skid tank (tangki mudah alih).

“Dua daripada lori bernombor pendaftaran Thailand didapati sedang menjalankan aktiviti pengisian diesel ke dalam tangki asal kenderaan serta ke dalam tangki tambahan, manakala sebuah lagi lori bernombor pendaftaran tempatan sedang melakukan pengisian diesel ke dalam skid tank,” katanya di sini hari ini.

Katanya, lima lelaki Thailand serta dua warga tempatan iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kita bertindak menyita kira-kira 43,500 liter diesel dengan nilai rampasan dianggarkan RM124,410 serta dua lori bernombor pendaftaran Thailand dengan nilai rampasan RM400,000.

“Barangan lain yang disita antaranya sembilan unit telefon bimbit, meja lipat, buku resit jualan diesel, salinan permit barang kawalan, salinan lesen pihak berkuasa tempatan, buku stok, invois dan dekoder televisyen litar tertutup (CCTV),” ujarnya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Sementara itu, bagi kes kedua di premis sama, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat tiga lori bonded yang memuatkan minyak masak dalam bentuk pembungkusan botol lima liter dan polibeg 1 kilogram (kg) yang dicetak dalam bahasa Thai.

“Pemeriksaan lanjut mendapati premis berkenaan tidak mempunyai apa-apa lesen untuk menyimpan minyak masak dan kita bertindak menahan seorang lelaki tempatan dengan kes disiasat di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Sebanyak 2,520 kg minyak masak di dalam botol lima liter (21 botol) dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM52,920. Turut disita 8,500 peket minyak masak polibeg 1 kg dengan nilai rampasan RM45,050,” katanya.

Selain itu, katanya, tiga lori bonded bernombor pendaftaran tempatan dengan nilai rampasan dianggarkan RM195,000 juga disita untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN