SHAH ALAM – Taktik licik sindiket penyelewengan diesel berskala besar mengubahsuai lori kontena terbongkar apabila diserbu di sebuah premis sekitar Subang Bestari di sini, hari ini.
Serbuan pukul 8.30 pagi dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor bersama Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor berjaya menahan lima suspek lelaki berusia 40 hingga 50 tahun.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Selangor, Mohd. Hanizam Kechek berkata, sindiket didapati telah menukar modus operandi dengan lebih terancang dan tersusun berbanding sebelum ini hanya menggunakan lori tangki.
Katanya, diesel ini dipercayai diperoleh menerusi pembelian berulang di beberapa stesen minyak sekitar daerah ini sebelum dikumpulkan di premis ini untuk tujuan pengedaran.
“Bahagian dalam lori kontena ini dipasang satu unit tangki besi berbentuk segi empat berkapasiti kira-kira 18,000 liter serta sistem pam bagi menyedut dan memindahkan bahan api. Pada serbuan itu, kita berjaya merampas keseluruhan diesel sebanyak 21,000 liter dengan nilai dianggarkan RM60,690,” katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian hari ini.
Turut disita lori kontena dan peralatan berkaitan penyelewengan dengan keseluruhan melebihi RM300,000.
Mohd. Hanizam menambah, pihaknya turut menemukan 54 keping resit pembelian bahan api daripada stesen minyak terlibat.
Jelasnya, siasatan awal mendapati kelima-lima suspek yang ditahan itu berperanan sebagai pemandu lori, kelindan serta penjaga premis ditahan.
“Selepas ini, siasatan turut memfokuskan dalam mengenal pasti individu, syarikat serta rantaian pengedaran diesel, termasuk sumber bekalan dan destinasi akhir bahan api ini. Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 termasuk peruntukan memiliki dan menjalankan urus niaga diesel tanpa kebenaran sah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














