WASHINGTON – Presiden Donald Trump mengumumkan tarif 25 peratus ke atas barangan dari negara-negara yang mempunyai hubungan komersial dengan Iran, langkah yang memberikan tekanan kepada Tehran ketika protes anti kerajaan memasuki minggu ketiga, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
Trump berkata, tarif itu berkuat kuasa serta-merta, namun tidak memberikan butiran tentang maksud terma ‘berurus niaga’ dengan Iran.
China adalah rakan dagangan terbesar Iran, diikuti Iraq, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Turkiye dan India.
Tarif baharu itu diumumkan selepas Trump mengancam untuk campur tangan secara ketenteraan sekiranya Tehran membunuh penunjuk perasaan.
Jurucakap White House, Karoline Leavitt berkata, pilihan ketenteraan termasuk serangan udara masih dipertimbangkan.
“Mana-mana negara yang berurus niaga dengan Republik Islam Iran akan membayar tarif tambahan 25 peratus ke atas sebarang dan semua perniagaan yang dilakukan dengan Amerika Syarikat.
“Perintah ini muktamad dan konklusif,” kata Trump.
White House tidak berkongsi maklumat tambahan tentang tarif, termasuk import negara mana yang akan paling teruk terjejas.
Kemarahan terhadap kejatuhan nilai mata wang Iran, rial, mencetuskan protes pada akhir Disember lalu, yang berkembang menjadi krisis legitimasi terhadap Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei.
Trump mengancam campur tangan serta berkata pada Ahad lalu bahawa pegawai-pegawai Iran telah menghubunginya untuk berunding, namun berkata: “Kami mungkin perlu bertindak sebelum rundingan berlaku.” – AGENSI














