Saifuddin nafi JPN sengaja lambatkan MyKad remaja 17 tahun
Oleh NORLIDA AKMAR IDROS
ALOR SETAR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan dakwaan peguam kononnya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sengaja melengah-lengahkan dan mempersulitkan perintah mahkamah dalam kes permohonan MyKad remaja berusia 17 tahun.
Kata beliau, pihaknya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 8 Disember tahun lalu itu dan JPN akan tetap melaksanakan perintah mahkamah bagi memastikan remaja lelaki terbabit mendapat kewarganegaraan.
“JPN akan mulakan dengan mengeluarkan sijil kelahiran secara pendaftaran lewat sebab umur anak ini sudah 17 tahun, mengikut Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian untuk keluarkan sijil lahir secara sah. Langkah itu supaya kita betulkan balik proses kerana ibu bapa kepada remaja terbabit pada asalnya mendapat maklumat kelahiran (remaja) itu berdasarkan kepada pusat kelahiran yang telah kita (JPN) ambil tindakan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan Tahun 2026 di JPN Kedah, di sini hari ini.
Saifuddin berkata, kes tersebut sebenarnya sudah berada dalam makluman JPN yang mana ibu bapa remaja terbabit telah hadir ke jabatan itu untuk membuat MyKad.
“Melalui penampilan fizikal, kita mendapati bahawa anak ini dan ibu bapanya langsung tidak seiras, jadi bila kita siasat, ibu bapa mengakui bahawa maklumat kelahiran anak ini diberikan oleh sebuah hospital swasta.
“Hospital swasta itu memang dalam senarai hitam JPN kerana kegiatan untuk mengeluarkan maklumat kelahiran bagi mana-mana orang yang nak dapatkan sijil kelahiran dengan JPN, maknanya sindiket penipuan. Jadi ibu bapa tahu bahawa anak ini ketika masih bayi, sijil kelahirannya dapat secara tidak sah,” ujarnya.
Kata beliau, tidak wujud masalah dalam memberi kewarganegaraan kepada remaja terbabit kerana mengikut Perkara 14(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, bayi yang tidak diketahui kelahirannya dianggap sebagai warganegara.
Tambahnya, perkara itu sepatutnya tidak menjadi isu kerana sejak beliau berada di Kementerian Dalam Negeri, jumlah kes kewarganegaraan yang tertunggak telah berkurangan daripada 50,000 kepada kurang 4,000 dalam tempoh tiga tahun.
JPN dalam kenyataan semalam menegaskan tiada keingkaran terhadap perintah Mahkamah Tinggi berlaku dalam kes permohonan MyKad remaja berusia 17 tahun dan semua tindakan sedang dilaksanakan secara teratur selaras undang-undang. – KOSMO! ONLINE














